mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines menyambung semula sementara penerbangan pergi-balik ke Jeddah (JED) dan Madinah (MED) mulai esok hingga Ahad (4-8 Mac) susulan penggantungan perkhidmatan sejak 28 Februari lalu akibat penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.
Bagaimanapun, penerbangan ke Doha (DOH) akan terus digantung sehingga Sabtu (7 Mac) kerana syarikat penerbangan masih menilai situasi keselamatan.
Semua penerbangan lain, termasuk ke London (LHR) dan Paris (CDG), tetap beroperasi mengikut jadual melalui laluan alternatif yang jauh dari zon konflik.
Penerbangan esok bagi MH156 perjalanan Kuala Lumpur-Jeddah dijadual berlepas pada jam 9 pagi dan tiba jam 1.40 tengah hari waktu tempatan, sementara penerbangan MH157 (Jeddah-Kuala Lumpur) pada jam 3.10 petang (tiba 5.10 pagi).
Penerbangan seterusnya, Rabu akan membabitkan MH156 (Kuala Lumpur-Jeddah) pada jam 7 petang, sementara perjalanan Jeddah-Kuala Lumpur melalui MH157 pada Khamis, jam 1.10 pagi.
Seterusnya, MH150 bagi perjalanan Kuala Lumpur-Jeddah pada 8 Mac berlepas pada jam 1 petang dan MH151 (Jeddah–Kuala Lumpur pada jam 7.10 malam.
Bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Madinah, Malaysia Airlines akan terbang dengan MH158 pada jam 3.35 petang dan kembali dengan penerbangan MH159 pada jam 9.30 malam.
Melalui penerbangan Jumaat, Malaysia Airlines akan beroperasi melalui MH152 bagi perjalanan Kuala Madinah pada jam 10.15 pagi dan kembali dengan ke tanah air dengan MH153 pada jam 4.05 petang dan tiba jam 6 pagi.
Dalam pada itu, perkhidmatan selepas 8 Mac masih tertakluk kepada semakan lanjut dan diselaraskan mengikut situasi.
Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan.
Pada masa sama, Malaysia Airlines menekankan keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal sebagai keutamaan.
Langkah proaktif diambil termasuk penggunaan laluan alternatif, koordinasi rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, pengukuhan prosedur keselamatan, dan maklumat tepat masa untuk penumpang.
Penumpang dinasihatkan mengemas kini maklumat hubungan melalui ‘My Booking’ atau mendapatkan bantuan melalui Live Chat laman web Malaysia Airlines, atau menghubungi Pusat Perhubungan Global di 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).
Malaysia Airlines terus memantau perkembangan dan akan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan operasi selamat dan boleh dipercayai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




