Tehran: Pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) – Israel meletakkan Tehran di persimpangan yang kritikal.
Ketika rejim sedia ada sedang berusaha mengekalkan kestabilan, tumpuan kini terarah sepenuhnya kepada proses pemilihan pemimpin agung yang baharu bagi mengisi kekosongan tampuk kuasa.
Kematian Khamenei turut disertai oleh kehilangan beberapa pemimpin kanan, termasuk penasihat keselamatan utamanya, Ali Shamkhani, dan Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mohammad Pakpour.
Kehilangan tokoh-tokoh penting ini merumitkan lagi dinamik dalaman dalam menentukan siapa yang layak memimpin Iran dalam fasa paling berbahaya dalam sejarah modennya.
Buat masa ini, sebuah majlis kepimpinan tiga orang0 yang terdiri daripada Presiden Masoud Pezeshkian, Ketua Kehakiman Gholamhossein Mohseni Ejei, dan ulama kanan Alireza Arafi memegang mandat sementara.
Menurut laporan Al Jazeera, majlis ini akan menggalas tanggungjawab pentadbiran sehingga calon tetap dimuktamadkan oleh badan agama yang berkuasa.
Bagaimana Pemimpin Agung dipilih?
Di bawah perlembagaan Iran, tanggungjawab untuk memilih pemimpin agung terletak di bahu Majlis Pakar (Assembly of Experts). Badan yang terdiri daripada 88 orang ulama ini dipilih oleh rakyat setiap lapan tahun, namun setiap calon yang bertanding perlu melalui tapisan ketat oleh Majlis Pengawal (Guardian Council).
Apabila jawatan pemimpin agung kosong akibat kematian atau peletakan jawatan, Majlis Pakar akan bersidang dengan segera untuk memilih pengganti melalui undian majoriti mudah. Calon mestilah seorang pakar perundangan Islam (Syiah) yang mempunyai kualiti kepimpinan politik, keberanian, dan keupayaan pentadbiran yang tinggi.
Spekulasi mengenai calon pengganti kini hangat diperkatakan, memandangkan proses ini hanya pernah berlaku sekali sebelum ini iaitu pada 1989 selepas kematian pengasas revolusi, Ayatollah Ruhollah Khomeini.
Memetik laporan Al Jazeera, kriteria pemilihan kali ini mungkin lebih ketat memandangkan ancaman ketenteraan daripada pihak luar yang semakin meruncing.
Apa yang berlaku semasa kekosongan kepimpinan?
Walaupun terdapat kebimbangan mengenai ketidakstabilan, Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan bahawa rejim bersedia untuk saat-saat ini” dan mempunyai pelan luar jangka bagi semua senario.
Langkah ini diambil ketika Iran mula melancarkan serangan balas ke atas tapak-tapak di negara Teluk sebagai dendam ke atas kematian Khamenei.
Mengikut Perkara 111 Perlembagaan Iran, tugas-tugas pemimpin agung akan dikendalikan oleh majlis sementara sehingga pemilihan rasmi selesai. Majlis ini diketuai oleh Presiden Masoud Pezeshkian, Ketua Hakim Negara Gholam-Hossein Mohseni-Ejei, dan Ayatollah Alireza Arafi dari Majlis Pengawal.
Berdasarkan analisis Al Jazeera, tempoh peralihan ini adalah ujian terbesar bagi struktur pemerintahan Iran sejak Revolusi 1979, terutamanya apabila AS bertekad untuk merombak sistem pentadbiran Tehran.
© New Straits Times Press (M) Bhd



