Inisiatif Utama SSM 2026

Inisiatif Utama SSM 2026

Sebagai badan pengawal selia korporat utama negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terus memperkukuh peranannya dalam membentuk ekosistem perniagaan yang lebih cekap, telus dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan memudah cara urusan perniagaan di seluruh negara.

Sejak penubuhannya pada 16 April 2002, SSM sentiasa proaktif dalam melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi membantu komuniti korporat, termasuk semasa negara berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Pada tahun 2020, SSM telah memperkenalkan 11 inisiatif dan usaha ini diteruskan pada tahun 2021 dengan 11 inisiatif, enam inisiatif pada tahun 2022, sembilan inisiatif pada tahun 2023 dan tujuh inisiatif pada tahun 2025.

Sempena ulang tahun yang ke-24 pada 16 April 2026, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengumumkan empat inisiatif utama dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaan negara, meningkatkan tahap pematuhan korporat serta mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh komuniti perniagaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Inisiatif SSM Memacu Ekonomi Inklusif dan Mampan

Inisiatif pertama yang diumumkan adalah pelaksanaan Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori bagi membantu syarikat yang menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan di bawah Akta Syarikat 2016 supaya kembali patuh serta mengurangkan beban kos pematuhan.

Program ini memberi ruang kepada syarikat untuk mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada pegawai SSM serta melaksanakan tindakan pemulihan bagi dokumen statutori yang tertunggak seperti penyata tahunan, penyata kewangan dan maklumat pemunyaan benefisial.

Melalui pendekatan ini, syarikat dapat memperbetulkan status pematuhan dalam tempoh yang munasabah dan pada masa yang sama meningkatkan kefahaman terhadap tanggungjawab korporat.

Selain itu, mana-mana syarikat yang menyertai kempen ini akan diberikan tempoh masa yang fleksibel untuk menyerah simpan dokumen tertunggak serta menikmati pengecualian tindakan pendakwaan, pengecualian kompaun bagi kes tertentu dan pengurangan kompaun yang signifikan.

Inisiatif kedua adalah penerusan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) yang menyediakan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem perniagaan yang inklusif dan mampan.

Melalui skim ini, usahawan OKU akan terus menikmati kemudahan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma setiap tahun sekali gus membantu mengurangkan beban kos pematuhan sepanjang tempoh menjalankan perniagaan.

Golongan OKU yang memanfaatkan inisiatif ini akan diberikan pengecualian fi sebanyak RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama tred, RM30 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri.

No Image Caption

“Kerajaan melalui SSM komited untuk memastikan ekosistem perniagaan negara terus kekal berdaya tahan, telus dan berintegriti sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan. Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan ini bukan sahaja menyokong pematuhan korporat, malah berperanan memperkasa keusahawanan, merangsang aktiviti ekonomi domestik serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap persekitaran perniagaan Malaysia.”- Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Inisiatif ketiga adalah pelanjutan tempoh pendaftaran Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) daripada satu tahun kepada dua tahun bagi menyokong kelestarian PMKS.

Skim yang diperkenalkan oleh SSM pada 23 Disember 2020 bertujuan memberi peluang kepada usahawan daripada kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej, institut kemahiran dan pusat kemahiran dalam negara untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Melalui skim ini, pengecualian fi sebanyak RM120 diberikan bagi pendaftaran menggunakan nama tred, RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri serta RM10 bagi cetakan maklumat perniagaan.

Selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, SSM turut memperkenalkan inisiatif keempat iaitu Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) sebagai kategori baharu di bawah SPPP bagi memberi peluang kepada golongan ini menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan.

Melalui SPPWE, golongan warga emas akan menikmati kemudahan pendaftaran perniagaan secara percuma bagi tahun pertama, sebanyak RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama tred, RM30 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri serta RM10 bagi cetakan maklumat perniagaan.

Inisiatif pertama dan kedua akan berkuat kuasa pada 16 April 2026, manakala inisiatif ketiga dan keempat akan berkuat kuasa bermula 1 Jun 2026.

Dalam menzahirkan harapannya, Armizan menyeru para usahawan dan komuniti korporat untuk mengambil peluang daripada inisiatif-inisiatif ini dalam usaha memastikan pematuhan berterusan terhadap undang-undang seterusnya menyumbang kepada persekitaran perniagaan domestik yang lebih berdaya saing dan mampan.

“Pendekatan seimbang antara penguatkuasaan dan pemudah cara ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang atau skala perniagaan, khususnya dalam kalangan PMKS,” katanya.

No Image Caption

“SSM komited untuk terus memperkukuh ekosistem perniagaan melalui pendekatan yang responsif, inklusif dan berpaksikan keperluan pihak berkepentingan. Inisiatif yang dilaksanakan ini dirangka bagi membantu komuniti korporat dan usahawan meningkatkan tahap pematuhan, mengoptimumkan kos pematuhan serta memperkukuh amalan tadbir urus yang baik dalam operasi perniagaan mereka.”-Datuk Nor Azimah Abdul Aziz Ketua Pegawai Eksekutif SSM

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, SSM komited untuk terus memperkukuh ekosistem perniagaan yang lebih dinamik dan inklusif, melalui pendekatan yang menyokong pertumbuhan mampan serta meningkatkan keupayaan entiti perniagaan untuk berdaya saing.

“Kami percaya bahawa pematuhan yang efektif bukan sekadar memenuhi keperluan perundangan, tetapi merupakan asas kepada kelestarian dan daya saing perniagaan.

“SSM akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada stakeholder dalam membina persekitaran perniagaan yang lebih dinamik, dipercayai dan berdaya saing,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot (24 jam, 7 hari), Live Chat SSM (8.00 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat, kecuali hari cuti umum) melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel enquiry@ssm.com.my

Scroll to Top