SHAH ALAM – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) diiktiraf sebagai hospital nombor satu di Malaysia dan menduduki kedudukan ke-138 dunia dalam senarai Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan komitmen berterusan hospital terhadap kecemerlangan klinikal, keselamatan dan penjagaan berpusatkan pesakit.
“Dalam ranking Hospital Terbaik Dunia 2026, SMC mencatat peningkatan kepada kedudukan ke-138 dunia berbanding tempat ke-193 pada 2025 dan ke-233 pada 2024. Hospital ini mengekalkan kedudukannya sebagai hospital terbaik di Malaysia.
“Kami berbangga menerima pengiktirafan ini dan ia mencerminkan dedikasi doktor, jururawat dan seluruh warga kerja selain kepercayaan pesakit serta rakan kerjasama di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ranking Hospital Terbaik Dunia diterbitkan oleh Newsweek dengan kerjasama Statista, sebuah firma penyelidikan pasaran dan data pengguna global.
Penilaian tersebut menilai institusi penjagaan kesihatan terkemuka merentasi sistem kesihatan utama termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan dengan mengambil kira prestasi hospital serta keberkesanan rawatan berpusatkan pesakit di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, SMC merupakan hospital pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama hospital iaitu Gold Seal of Approval daripada Joint Commission International (JCI) dari Amerika Syarikat, Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI) serta Malaysian Society for Quality in Health (MSQH).
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen hospital terhadap pematuhan piawaian kualiti dan keselamatan pesakit yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, SMC komited memperkukuh tadbir urus klinikal, meningkatkan keselamatan serta pengalaman pesakit selain terus melabur dalam kecekapan bagi menyokong penyampaian penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada komuniti.
“Dalam penilaian itu, lebih 2,500 hospital dinilai daripada lebih 200,000 institusi penjagaan kesihatan di seluruh dunia yang merangkumi hospital awam, swasta dan universiti. Hanya 250 hospital terbaik disenaraikan dalam ranking tersebut.
“Antara hospital yang turut tersenarai ialah Mayo Clinic, Rochester, Cleveland Clinic dan Johns Hopkins Hospital di Amerika Syarikat; Toronto General Hospital di bawah University Health Network, Kanada serta Singapore General Hospital di Singapura. Senarai itu menjadi penanda aras global yang merangkumi hospital akademik, universiti dan swasta terbaik,” katanya.
Menurutnya, penilaian itu menggunakan metodologi tinjauan global melibatkan lebih 100,000 pakar perubatan, data pengalaman pesakit, metrik kualiti hospital serta tinjauan Patient-Reported Outcome Measures (PROMs) oleh Statista yang menilai keberkesanan rawatan berdasarkan maklum balas pesakit.
“Sebagai hospital utama di bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, SMC mempunyai lebih 300 pakar perunding tetap serta menawarkan penjagaan komprehensif merangkumi lebih 80 kepakaran dan 28 Pusat Kecemerlangan.
“Selepas siap blok keenam iaitu Menara F yang menempatkan Pavilion Kanak-Kanak, SMC dijangka berkembang melebihi 1,000 katil dan disokong oleh pasukan multidisiplin bagi memastikan penyampaian penjagaan kesihatan yang menyeluruh serta khusus,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway diiktiraf sebagai hospital terbaik di Malaysia dan ke-138 di dunia oleh Newsweek
- Pengiktirafan mencerminkan komitmen hospital terhadap kecemerlangan klinikal dan keselamatan pesakit
- SMC mencatat peningkatan kedudukan dalam ranking Hospital Terbaik Dunia daripada tahun ke tahun
- Penilaian Newsweek dan Statista mengambil kira prestasi dan keberkesanan rawatan berpusatkan pesakit
- SMC memiliki lebih 300 pakar perunding dan menawarkan penjagaan komprehensif dengan lebih 80 kepakaran



