am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Seorang janda ditahan bersama dua lelaki selepas ditemui berada dalam sebuah bilik yang mendatang syak atau berkhalwat.
Ketiga-tiga mereka ditahan ketika penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membuat pemeriksaan di rumah teres dua tingkat dekat Bandar Dato’ Onn di sini, jam 12 tengah hari, selepas menerima maklumat awam.
JAINJ dalam satu kenyataan berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, penguat kuasa mengetuk pintu rumah dan dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki.
Menurutnya, penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke dalam rumah sambil meminta lelaki itu memberi kerjasama.
“Tingkat bawah rumah tiada orang, manakala di tingkat atas terdapat tiga bilik yang pintunya bertutup.
“Bilik pertama dan kedua dihuni lima orang lelaki.
“Penguat kuasa kemudian membuat pemeriksaan di bilik ketiga yang pintunya tidak berkunci, sebelum menemui seorang lelaki sedang tidur di atas tilam bujang dengan hanya berseluar pendek.
“Dalam bilik sama, di atas sebuah tilam kelamin, tiba-tiba bangun seorang lelaki yang berseluar panjang dan tidak berbaju dengan di sebelahnya ada seorang wanita di dalam selimut dan menutup muka serta keseluruhan badan,” katanya.
JAINJ berkata, hasil soal siasat ke atas dua lelaki dan seorang wanita itu yang semuanya berusia 30-an mendapati mereka bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram.
“Kedua-dua lelaki masih bujang dan bekerja di daerah ini, manakala wanita berstatus janda juga bekerja di daerah ini.
“Dua lelaki ini adalah kawan baik dan sama tempat kerja. Apabila disoal penguat kuasa, wanita itu mengatakan dia kurang sihat dan perlu berehat di rumah lelaki berkenaan.
“Rakan-rakan serumah mengetahui lelaki itu membawa kekasih pulang ke rumah dan mereka sebenarnya tidak selesa.
” Jiran-jiran sekeliling juga mungkin nampak rumah bujang lelaki itu membawa balik wanita,” katanya.
Mereka ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkurung dalam bilik sehingga mendatangkan syak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




