Brighton, United Kingdom: Arsenal membuktikan mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada situasi bola mati apabila Bukayo Saka menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Brighton awal pagi tadi, untuk kembali mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Saka, 24, meraikan statusnya sebagai pemain keempat termuda mencapai 300 penampilan bersama Arsenal dengan jaringan babak pertama yang terhasil menerusi rembatan terkena pemain lawan di Stadium Amex.
Skuad kendalian Mikel Arteta tidak begitu menyerlah untuk tempoh yang panjang, namun etika kerja dan kecekapan bertahan membolehkan mereka melebarkan jurang kepada tujuh mata di depan Manchester City di tangga kedua.
Keputusan seri mengejut 2-2 City menentang Nottingham Forest di Stadium Etihad menjadikan nasib kejuaraan kini berada di tangan Arsenal.
Walaupun City masih memiliki satu perlawanan dalam tangan dan bakal menjadi tuan rumah kepada Arsenal pada April, The Gunners kini mencatat tiga kemenangan liga berturut-turut untuk menepis dakwaan bahawa mereka tidak memiliki mentaliti mencukupi dalam perebutan gelaran.
Selepas dua musim berturut-turut terlepas kejuaraan kepada City pada 2023 dan 2024 walaupun pernah mendahului, Arsenal kali ini dilihat lebih matang mengharungi tekanan dan trofi liga pertama sejak 2004 kini semakin hampir.
Bukan kali pertama musim ini Arsenal tidak mempamerkan aksi bergaya di pantai selatan England.
Namun pasukan yang masih memburu empat trofi itu memenangi lima dan seri dua daripada tujuh perlawanan liga terakhir, selain mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, final Piala Liga dan pusingan kelima Piala FA.
Penjaga gol Arsenal, David Raya, hampir menghadiahkan gol kepada Brighton dalam tiga minit pertama selepas hantaran silapnya kepada Carlos Baleba hampir membawa padah, namun Gabriel Magalhaes sempat mengeluarkan bola sebelum melepasi garisan.
Detik cemas itu menjadi amaran buat Arsenal sebelum mereka mendahului pada minit kesembilan.
Saka menguasai bola di sebelah kanan sebelum mara ke luar kotak penalti dan melepaskan rembatan deras yang terkena Baleba sebelum melepasi celah kaki penjaga gol Bart Verbruggen.
Itu hanya gol kedua Saka dalam 19 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Pengendali Brighton, Fabian Hurzeler, minggu ini mengkritik Arsenal kerana melengahkan masa ketika situasi bola mati dan beliau sekali lagi memprotes kepada pegawai keempat apabila Arsenal mengambil masa untuk melakukan lontaran ke dalam.
Arteta jelas tidak berpuas hati dengan bantahan itu, dengan kedua-dua pengurus dilihat bertikam lidah di tepi padang.
Kebergantungan Arsenal kepada bola mati mencetuskan perdebatan selepas kemenangan ke atas Chelsea sebelum ini, apabila kedua-dua gol mereka terhasil daripada sepakan penjuru.
The Gunners sudah menjaringkan 16 gol daripada sepakan penjuru musim 2025-26, menyamai rekod Liga Perdana untuk satu musim dan keseluruhan 19 gol daripada situasi bola mati.
Arteta mempertahankan pendekatan itu dan menolak dakwaan bahawa Arsenal akan menjadi juara “paling tidak menarik” jika mereka menjuarai liga, dengan menyifatkan kemenangan ke atas Chelsea sebagai sesuatu yang indah.
Pengkritik gaya permainan Arsenal mungkin boleh tersenyum apabila babak pertama menyaksikan hanya dua percubaan daripada pendahulu liga itu.
Dengan Arsenal jauh daripada aksi terbaik, Brighton meningkatkan tekanan selepas rehat.
Georginio Rutter hampir menyamakan kedudukan menerusi separa voli yang memaksa Raya melakukan satu lagi aksi menyelamat cemerlang.
Yankuba Minteh turut menguji kubu Arsenal dengan rembatan yang terkena pertahanan sebelum tersasar tipis, manakala Jack Hinshelwood mensia-siakan peluang keemasan dengan tandukan melepasi palang dari jarak dekat.
Arsenal beraksi tanpa pertahanan Perancis William Saliba yang mengalami kecederaan buku lali, namun mereka menggunakan segala kekuatan untuk mengekang asakan Brighton pada malam yang berpotensi menjadi titik penentu kejuaraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




