
Cadangan pengambilalihan The Food Purveyor oleh CP Axtra dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026.
KUALA LUMPUR – CP Axtra Public Co Ltd (CP Axtra) dari Thailand mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd akan mengambil alih The Food Purveyor Sdn Bhd (Food Purveyor), pengendali rangkaian pasar raya Village Grocer dan Ben’s Independent Grocer (B.I.G) pada nilai RM1.7 bilion daripada firma ekuiti persendirian Navis Capital.
Menurut CP Axtra dalam pemfailan kepada Bursa Saham Thailand, cadangan pengambilalihan The Food Purveyor yang turut memiliki BSC Fine Foods, Pasaraya OTK dan The Food Merchant dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026.
“Pihak yang terlibat sedang dalam proses memenuhi syarat terdahulu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli saham termasuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia berkaitan,” katanya.
CP Axtra, cabang peruncitan kepada konglomerat multinasional Thailand, Charoen Pokphand Group yang juga dikenali sebagai CP Group, dilapor sedang memperluaskan keberadaannya di seluruh Asia Tenggara ketika sentimen pengguna di pasaran domestiknya agak lemah.
Di Malaysia, CP Group mengendalikan Lotus’s Malaysia (dahulu dikenali sebagai Tesco) sejak pengambilalihan perniagaan tersebut pada Disember 2020. Kini terdapat kira-kira 70 cawangan Lotus’s di Malaysia.
CP Axtra berkata pihaknya tertarik mengambil alih The Food Purveyor kerana rangkaian itu mempunyai akses kepada lokasi yang tidak dapat dicapai oleh pasar raya besar Lotus’s Malaysia selain potensi pertumbuhan segmen pasar raya premium di Malaysia.
“Menerusi pengambilalihan ini, kami dapat melangkaui halangan kemasukan ke lokasi utama berpendapatan tinggi di bandar yang sebelum ini telah dikuasai oleh pemain sedia ada sekali gus memperoleh akses segera ke lokasi strategik dengan aliran pelanggan yang kukuh.
“Selain itu, terdapat juga manfaat tambahan daripada skala operasi yang lebih besar termasuk pengoptimuman perolehan, pengagihan berpusat, percepatan saluran omni, pengembangan jenama sendiri, kecekapan kos serta peluang jualan silang merentasi platform gabungan,” kata CP Axtra.
Untuk rekod, The Food Purveyor ketika ini mempunyai 34 cawangan Village Grocer, enam pasar raya B.I.G, enam outlet ultra premium The Food Merchant, satu cawangan BSC Fine Foods dan tiga pasar raya tradisional Pasaraya OTK.
Ringkasan AI
- CP Axtra dari Thailand akan mengambil alih The Food Purveyor, pengendali Village Grocer dan B.I.G dengan nilai RM1.7 bilion
- Pengambilalihan dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026
- CP Axtra merupakan cabang kepada konglomerat Charoen Pokphand Group, meluaskan keberadaannya di Asia Tenggara
- Di Malaysia, CP Group mengendalikan Lotus’s Malaysia dengan kira-kira 70 cawangan
- The Food Purveyor mempunyai 34 cawangan Village Grocer, 6 B.I.G, dan lain-lain, total 50 cawangan



