rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru : Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kejayaan skuad bimbingannya membelasah PKR Svay Rieng dalam aksi Kumpuan B saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee musim 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam amat berbaloi.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, segala perancangan taktikal dengan menganalisis corak permainan skuad kendalian Matthew McConkey nyata beri impak terhadap persembahan barisan pemain JDT yang jelas mendominasi permainan sepanjang 90 minit perlawanan.
“Hasil daripada analisis yang kami lakukan jelas menunjukkan pasukan lawan beraksi amat berbeza berbanding musim lalu dan kami sudah bersedia untuk berdepan mereka apabila mereka menggunakan taktikal kawalan satu lawan satu dan cuba menyekat pergerakan barisan pemain tengah JDT.
“Pasukan lawan memiliki pemain tengah bertahan yang pantas memintas gerakan yang cuba lakukan terutama di babak pertama namun pada babak kedua kami berjaya mengatasinya dan menguasai permainan kerana barisan pemain kami memahami situasi untuk memperlahankan rentak permainan atau menggerakkan permainan dengan lebih pantas.
“Hasilnya pemain kami tahu untuk bergerak mencari ruang dan barisan serangan juga berinteraksi dengan baik menerusi gerakan apabila seorang pemain mendapatkan bola manakala seorang lagi pemain akan berlari di belakang pertahanan lawan
“Agak menarik lagi adalah keupayaan kami beraksi di posisi tengah atau mengumpan bola ke ruang kosong di belakang pertahanan lawan, Oleh itu proses taktikal yang dipratikkan akan lebih mudah dan memberi keselesaan untuk pemain kami bergerak bebas,” katanya
Munoz juga menegaskan segala kekuatan skuad yang bergelar The Blue Swords itu dapat dinilai oleh barisan kejurulatihan JDT selepas mengkaji aksi kelab dari Kemboja itu menentang Machida Zelvia dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2, baru-baru ini dan keupayaan membentuk taktikal ampuh bagi menewaskan anak didik McConkey adalah satu kebanggaan.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Marcos Guilherme jelas gembira dengan kemenangan yang diraih skuad Harimau Selatan malah tidak menjangka akan dipilih sebagai pemain terbaik dan berterima kasih kepada jurulatih (Munoz) yang beri kepercayaan kepadanya untuk beraksi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




