Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan ditangguhkan

Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan ditangguhkan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil, di sini, pada esok, ditangguhkan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan tarikh baharu penganjuran itu akan diumumkan nanti tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap selamat bagi aktiviti luar.

“Keputusan ini dibuat sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada peserta, penganjur dan orang ramai.

“Bagaimanapun, penganjuran HSN di peringkat negeri dan peringkat lain-lain serta lokasi lain adalah tertakluk kepada situasi setempat dan ketetapan pentadbiran masing-masing.

“Bagi penganjuran di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka adalah ditangguhkan, manakala di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Labuan berjalan seperti dirancang,” katanya.

Menurutnya, KBS sentiasa memantau dengan teliti perkembangan kualiti udara dan situasi jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di negara ini.

“Susulan perbincangan terperinci bersama agensi kerajaan berkaitan, KBS meneliti implikasi penganjuran acara berskala besar dalam keadaan semasa.

“Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan KBS dan aspek kesihatan awam serta keselamatan semua pihak terbabit diambil kira sepenuhnya.

“KBS juga menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung keadaan jerebu yang melanda negara,” katanya.

Katanya, KBS memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan merakamkan penghargaan atas pengertian serta kerjasama semua pihak.

“KBS turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah serta sentiasa mematuhi nasihat dan panduan kesihatan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top