PETALING JAYA: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu.
Memuatkan artikel berkaitan…
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, keputusan itu dibuat atas nasihat dan persetujuan Menteri Belia dan Sukan dengan mengambil kira aspek kesihatan awam serta keselamatan semua pihak terlibat.
“Tarikh baharu penganjuran akan diumumkan kelak, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap yang selamat bagi aktiviti luar.
“Keputusan ini dibuat sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada para peserta, penganjur dan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KBS, keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan terperinci bersama agensi kerajaan berkaitan bagi meneliti implikasi penganjuran acara berskala besar dalam keadaan semasa.
Kementerian turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keadaan jerebu yang melanda negara.
Selain sambutan peringkat kebangsaan, penganjuran HSN di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka turut ditangguhkan.
Bagaimanapun, sambutan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Labuan berjalan seperti dirancang setakat kenyataan itu dikeluarkan.
“Penganjuran HSN di peringkat negeri dan lain-lain peringkat serta lokasi adalah tertakluk kepada situasi setempat dan ketetapan pentadbiran masing-masing,” menurut kenyataan itu.
“KBS turut menyeru orang ramai mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah buat masa ini serta mematuhi nasihat dan panduan kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa.
“KBS memohon maaf atas kesulitan yang timbul serta merakamkan penghargaan atas pengertian dan kerjasama semua pihak.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negara melalui talian 03-8871 3719 atau e-mel [email protected],” katanya. –UTUSAN




