Lebih menimbulkan kemarahan, Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 23, mendakwa individu berkenaan bukan sahaja menyamar sebagai dirinya, malah menyebarkan dakwaan palsu kononnya penyanyi itu sedang hamil.
Menurut pelantun lagu Teman itu, tuduhan tersebut disifatkan melampau kerana dia masih belum berkahwin.
“Suka hati sahaja tuduh saya mengandung. Jumpa di akhirat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam masa sama, Iman turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila penyamar berkenaan dipercayai cuba memperdaya orang ramai dengan tujuan mendapatkan wang.
Dakwanya, individu tersebut memuat naik hantaran berunsur fitnah selain meletakkan kod QR dipercayai bagi memperdaya pengguna untuk melakukan transaksi kewangan.
“Kau sudah muat naik hantaran kata aku mengandung, sedangkan aku belum berkahwin. Siap ‘scam’ orang lagi letak QR,” katanya.
Iman turut melahirkan rasa hairan apabila masih terdapat pengguna media sosial yang mempercayai hantaran berkenaan walaupun jelas ia dimuat naik daripada akaun palsu.
“Orang yang komen pun percaya itu saya kenapa? Allahuakbar. Terang-terang itu akaun palsu,” ujarnya.
Terdahulu, tular di Threads satu hantaran yang mendakwa kononnya penyanyi tersebut mengumumkan berita kehamilannya sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.
Lebih mengejutkan, individu yang menyamar itu turut memuat naik imej imbasan ultrasound bayi bagi meyakinkan orang ramai bahawa dakwaan tersebut adalah benar.
Bagaimanapun, hasil carian mendapati akaun palsu berkenaan kini telah dinyahaktifkan, manakala hantaran berkaitan dakwaan kehamilan tersebut juga sudah dipadam daripada platform berkenaan.




