4 maut di Gerik: 'Setahun saya tak jumpa Saffiya, akhirnya khabar duka yang diterima'

4 maut di Gerik: 'Setahun saya tak jumpa Saffiya, akhirnya khabar duka yang diterima'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Selepas setahun tidak berjumpa dengan anak tunggal yang dijaga oleh bekas isteri, Mohamad Sanuzi Mohd Nawi dikejutkan dengan pemergian kanak-kanak perempuan itu dalam kemalangan jalan raya.

Safiyya Haura, 3, maut bersama ibunya, Tuan Shazrin Tuan Mud, 40, dan dua individu lain dalam nahas di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik, Perak, tengah hari semalam.

Mohamad Sanuzi, 33, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pihak Hospital Taiping, pada 8 malam hari kejadian memaklumkan anak dan bekas isterinya meninggal dunia.

“Saya kelu dan tidak mampu berfikir apa-apa ketika menerima berita itu kerana (sebelum ini) sangat menantikan detik untuk berjumpa Safiyya selepas setahun tidak bersua disebabkan dia dijaga bekas isteri yang menetap di Perak.

“Penantian saya berakhir dengan khabar duka dan lebih pilu lagi apabila masih terngiang-ngiang suara Safiyya yang baru pandai menyebut ‘papa’ setiap kali kami buat panggilan video.

“Bekas isteri ada beritahu ingin kembali menetap di Kelantan dan bercadang menghantar Safiyya serta anak tiri, Mohammad Shiraz Hammani Abdul Fattah, 9, ke rumah saya beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui di Masjid Umari, Mukim Telaga Bata, Sering, di sini.

Selain dua beranak itu, turut terkorban adalah Al Zubir Deraman, 31, dan Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19, manakala Mohammad Shiraz Hammani parah dan masih dirawat di Hospital Taiping.

Jenazah Tuan Shazrin dan Safiyya Haura dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Dusun, Sering selepas Solat Isyak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top