“Jumpa Saya Kalau Berani, Jangan Jadi Pengecut” – Liza Hanim Mahu Bersemuka Dengan Pelaku Buli Siber Anak, Beri Masa Sebelum Ke Mahkamah

“Jumpa Saya Kalau Berani, Jangan Jadi Pengecut” – Liza Hanim Mahu Bersemuka Dengan Pelaku Buli Siber Anak, Beri Masa Sebelum Ke Mahkamah

Penyanyi terkenal, Liza Hanim memilih untuk bertenang selepas membuat laporan polis susulan isu buli siber yang membabitkan anaknya, Marsya Qistina.

Menurut Liza, individu yang didakwa terlibat sudah membuat permohonan maaf, namun dia menetapkan satu syarat iaitu mahu bertemu secara bersemuka bagi menyelesaikan perkara itu.

“Sekarang ini saya dalam tempoh bertenang. Individu itu sudah memohon maaf, tetapi syarat saya adalah dia datang berjumpa dengan saya.

“Kalau berani berkata sedemikian, datanglah bersemuka. Jika sudah meminta maaf, maknanya awak mengakui kesilapan. Jika tidak, saya akan bawa perkara ini ke peringkat seterusnya,” katanya.

Liza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media iklan raya dan majlis berbuka puasa bersama LOL Entertainment yang berlangsung di Hotel Royal Chulan Damansara pada Rabu.

Pelantun lagu Siapa Sangka Siapa Menduga ini berkata, dia dan Marsya sebenarnya sudah beberapa kali berdepan kecaman netizen sebelum ini, namun mereka biasanya memilih untuk tidak melayan.

Bagaimanapun, kali ini situasinya berbeza apabila emosi Marsya berada dalam keadaan rapuh selepas kehilangan rakan baiknya akibat kanser.

“Sebagai ibu, saya tidak sanggup melihat anak saya diperlakukan begitu. Sebab itu kali ini saya memilih untuk bersuara,” katanya.

Pada masa sama, Liza berharap tindakannya dapat memberi kesedaran terhadap mangsa buli siber dimana mereka mempunyai hak untuk menggunakan saluran undang-undang.

“Kalau kita rasa dianiaya, dibuli atau menjadi mangsa body shaming, gunakan akta yang ada untuk melindungi diri,” katanya.

Sementara itu, Marsya mengakui pada awalnya kurang bersetuju dengan tindakan ibunya yang mahu membawa isu tersebut kepada pihak berkuasa.

Namun, dia akhirnya memahami keputusan itu kerana setiap kata-kata di media sosial mempunyai akibat.

“Kalau sudah ada undang-undang yang boleh digunakan, kenapa tidak kita gunakan hak itu?” katanya.

Terdahulu, Liza meluahkan rasa kesal terhadap segelintir netizen yang didakwa cuba mengeruhkan hubungan Marsya dengan peserta lain dalam program Talk To My Manager (TTMM) dengan membandingkan rezeki masing-masing.

Malah, ibu kepada lima cahaya mata itu turut terkilan apabila Marsya menjadi sasaran kecaman netizen yang mendakwa anaknya kurang menyerlah walaupun pernah menjuarai pertandingan program realiti.

Scroll to Top