Belanjawan 2027 mengimbangi pertumbuhan, disiplin fiskal serta daya tahan ekonomi

Belanjawan 2027 mengimbangi pertumbuhan, disiplin fiskal serta daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini, setengah jam lebih awal dari waktu kebiasaannya iaitu pada 4 petang.

Belanjawan Madani Kelima yang bertemakan “Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Belanjawan ini dibentangkan ketika kerajaan berhasrat mengekalkan momentum ekonomi di samping meningkatkan siling pertumbuhan negara, memperbaiki taraf hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola.

Dengan ekonomi yang berada di landasan yang kukuh, tumpuan Belanjawan 2027 adalah untuk mengekalkan momentum itu. Ekonomi diunjurkan berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, manakala pertumbuhan sepanjang tahun dijangka kekal dalam julat unjuran kerajaan iaitu antara 4.0 hingga 5.0 peratus.

Berdasarkan perkembangan berkenaan, dasar fiskal kekal penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi di samping memperkukuh daya tahan fiskal, terutamanya di tengah-tengah ketidaktentuan luaran, kos tenaga yang tinggi dan tekanan harga yang berterusan.

Usaha untuk menambah baik kecekapan perbelanjaan awam, memperkukuh mobilisasi hasil dan mengurangkan ketirisan dijangka kekal menjadi sebahagian daripada agenda mengukuhkan fiskal kerajaan.

Rasionalisasi subsidi yang merupakan antara instrumen fiskal utama, akan terus menjadi pertimbangan penting ketika kerajaan berusaha memastikan sumber awam disalurkan dengan lebih berkesan melalui bantuan bersasar dan aktiviti ekonomi yang produktif.

Dalam hal ini, cabarannya adalah untuk mengekalkan ruang fiskal di samping memastikan pembaharuan subsidi tidak menjejaskan penggunaan isi rumah atau meningkatkan kos operasi untuk perniagaan.

Perbelanjaan untuk pembangunan akan terus menjadi komponen penting bagi menyokong aktiviti ekonomi dan menangani jurang dalam infrastruktur, dengan perbelanjaan dijangka tertumpu kepada projek-projek yang meningkatkan keterhubungan dan produktiviti.

Infrastruktur pembekalan air, tebatan banjir, pembangunan luar bandar, utiliti dan rangkaian elektrik, terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan lain yang kurang mendapat perkhidmatan, mungkin kekal antara bidang yang diberi perhatian utama.

Dari segi pelaburan pula, Belanjawan 2027 dijangka memperkukuh peralihan Malaysia ke arah aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi, dengan penekanan yang lebih besar terhadap industri yang berupaya menjana produktiviti yang tinggi, peluang pekerjaan berkualiti dan pemindahan teknologi.

Pelaburan yang berterusan dalam pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju serta infrastruktur sokongan tenaga, air dan digital akan menjadi komponen penting untuk memperkukuh daya saing serta kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan di rantau ini.

Turut mendapat perhatian dalam belanjawan kali ini ialah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang akan diperkenalkan dengan langkah-langkah untuk meningkatkan produktiviti, memudah cara penggunaan teknologi dan memperkukuh akses kepada pembiayaan.

Ini amat diperlukan oleh mereka ketika berdepan dengan kos operasi dan tekanan kadar upah yang lebih tinggi.

Selain itu, ekosistem perniagaan domestik yang lebih kukuh juga akan membantu memastikan pelaburan dan pengembangan ekonomi menjana rantaian yang lebih luas merentasi seluruh ekonomi.

Pada akhirnya, Belanjawan 2027 tidak akan dinilai berdasarkan saiz peruntukannya semata-mata, sebaliknya menerusi sejauh mana sumber fiskal dapat diterjemahkan secara berkesan kepada pertumbuhan mampan, pelaburan produktif, perniagaan domestik yang lebih kukuh dan peluang pekerjaan berkualiti, di samping memastikan kewangan awam kekal berada di landasan yang mampan.

Cabaran selepas ini adalah untuk memastikan daya tahan ekonomi Malaysia dapat diterjemahkan kepada asas yang lebih kukuh untuk fasa pertumbuhan seterusnya di bawah kerangka Ekonomi Madani. – Bernama

Scroll to Top