
Rakaman video yang tular menunjukkan orang ramai membawa tong plastik pelbagai saiz untuk membeli BBM dalam kuantiti banyak daripada pengendali stesen. Foto Agensi
ACEH – Bimbang bekalan minyak terjejas akibat konflik di Asia Barat mendorong penduduk Aceh Tengah berpusu-pusu ke stesen minyak pada Khamis, membawa tong plastik untuk menyimpan bahan bakar minyak (BBM), (minyak petrol dan diesel).
Suasana panik menyaksikan barisan panjang terbentuk sejak pagi, apabila ramai risau harga dan stok minyak akan meningkat atau berkurang.
Rakaman video yang tular menunjukkan orang ramai membawa tong plastik pelbagai saiz untuk membeli BBM dalam kuantiti banyak daripada pengendali stesen.
Kebimbangan itu dipercayai berpunca daripada berita kenaikan harga minyak dunia dan gangguan bekalan yang berlaku susulan perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Ketua Dinas Komunikasi dan Informatika Aceh Tengah, Mustafa Kamal, menegaskan bahawa stok BBM di wilayah itu masih mencukupi.
Berdasarkan maklumat daripada PT Pertamina, stok semasa di depot Lhokseumawe, yang membekalkan Aceh Tengah, mencatatkan 1.3 juta liter Pertamax, 4.3 juta liter Pertalite dan 2.3 juta liter diesel.
Sebuah kapal membawa bekalan tambahan dijangka tiba menjelang sambutan Aidilfitri.
“Stok BBM insya-Allah dalam keadaan selamat. Orang ramai diminta tidak panik membeli kerana bekalan akan diedarkan setiap hari ke Aceh Tengah,” jelas Mustafa.
Fenomena sama turut berlaku di Bener Meriah, apabila penduduk tempatan dilihat membawa tong plastik pelbagai saiz untuk menyimpan minyak.
Sebelum ini, Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia memberi jaminan bahawa ketahanan bekalan BBM negara dalam keadaan stabil dengan stok mencukupi untuk menampung keperluan selama 20 hari. – Agensi
Ringkasan AI
- Bimbang bekalan minyak terjejas akibat konflik di Asia Barat, penduduk Aceh Tengah berpusu-pusu ke stesen minyak
- Suasana panik menyaksikan barisan panjang di stesen minyak sejak pagi
- Kebimbangan dipercayai berpunca daripada berita kenaikan harga minyak dunia dan gangguan bekalan akibat perang
- Mustafa Kamal menegaskan stok BBM di Aceh Tengah masih mencukupi
- Fenomena panik membeli BBM turut berlaku di Bener Meriah



