Mayat telungkup dalam longkang

Mayat telungkup dalam longkang

am@hmetro.com.my

Tenom: Orang ramai gempar selepas menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan telungkup di dalam longkang berhampiran sebuah bangunan bank di Pekan Tenom, hari ini.

Mayat ditemui kira-kira 8.50 pagi oleh orang awam yang melalui laluan pintas menuju ke Hospital Tenom sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas seorang lelaki membuat laporan.

Menurutnya, pengadu memaklumkan rakannya melihat satu objek menyerupai mayat berada di dalam longkang di jalan pintas menuju ke Hospital Tenom, berhadapan bangunan bank.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari jambatan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan kedai di Pekan Tenom.

“Mangsa ditemui di dalam longkang berhampiran hadapan bangunan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, identiti mangsa dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 61 tahun.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top