PSM tak kemuka rayuan

PSM tak kemuka rayuan

sukhairi@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tindakan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menghantar surat pada saat akhir meminta Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menjelaskan pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka tidak dilayan badan induk Asia itu.

Malah, ASTAF menjelaskan surat dikemukakan PSM itu bersifat ‘spekulatif’ dan hanya diterima sehari sebelum tarikh rayuan mereka berakhir malam ini sedangkan badan induk sepak takraw Malaysia itu mempunyai ruang secukupnya iaitu tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan sejak 20 Mei lalu.

“Terima kasih atas surat anda bertarikh 1 Jun 2021 tetapi diterima pada hari ini, 2 Jun 2021,” tulis ASTAF dalam satu surat balas yang ditandatangani Setiausaha Agungnya, Boonchai Lorhpipat semalam.

“Pertamanya, sila rujuk semua surat menyurat kami mengenai perkara berkenaan termasuk surat bertarikh 20, 27 Mei 2021. Kami sedia maklum yang anda memahami garis panduan untuk membuat rayuan dan sehingga kini tidak mengemukakan sebarang rayuan.

“Justeru, kami tidak dapat menjawab kepada surat anda yang begitu spekulatif terhadap (proses) rayuan itu sendiri.”

Pada 20 Mei lalu PSM dikenakan hukuman penyingkiran daripada badan induk Asia itu berkuatkuasa serta-merta dalam satu sesi pendengaran secara maya yang dihadiri panel antaranya dari India, Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand.

Badan induk itu turut didenda AS$15,000 (RM61,841) dan tambahan AS$2,000 (RM8,245) sekiranya ingin membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan.

Dalam sesi pendengaran berkenaan, PSM didapati bersalah susulan tindakan presiden badan induk itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.

Dalam laporan media tempatan minggu ini, PSM menerusi Setiausaha Agung, Datuk Abidullah Salleh dilaporkan sudah menghantar surat kepada ASTAF berhubung hukuman berkenaan dengan kali ketiga dihantar pada Selasa lalu.

Surat itu dilaporkan dihantar bagi memohon ASTAF menjelaskan pertuduhan dikenakan terhadap PSM serta menyertakan dokumen pertuduhan yang mengaitkan PSM dalam sesi pendengaran sebelum ini.

Sementara itu, Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, tindakan badan induk Asia itu membuat pengadilan terhadap PSM adalah mengikut saluran, prosedur dan peraturan seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“PSM dan Datuk Ahmad Ismail sudah diberi cukup peluang dan masa untuk membela diri. Keengganan Datuk Ahmad dan PSM mengambil peluang diberikan ini adalah silap sendiri dan merugikan PSM.

“Jadi, anggapan dan tohmahan yang mengatakan ASTAF zalim adalah tidak betul. Semasa perbicaraan, kita merujuk kepada laporan, dokumen dan pembuktian yang ada serta merujuk seksyen berkaitan dalam Perlembagaan ASTAF, bukan sesuka hati membuat tuduhan dan menjatuhkan hukuman.

“Keengganan untuk membela diri adalah mengingkari proses keadilan seperti yang diamalkan oleh mana-mana badan disiplin dan perundangan. Jadi ianya silap sendiri.

“Maka Datuk Ahmad dan PSM sepatut menerima saja apa keputusan terakhir dibuat jawatankuasa Disiplin ASTAF selepas proses pengadilan itu selesai tanpa perlu bertindak melalui saluran lain seperti Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top