BEIRUT – Israel terus memperhebatkan kempen pengeboman ke atas ibu kota Lubnan yang bermula sejak awal minggu lalu.
Operasi yang memasuki hari keempat itu semakin meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat, sekali gus mengheret gerakan Hizbullah ke dalam konflik lebih besar yang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Rejim Zionis mengambil peluang daripada peperangan yang semakin meluas untuk menggempur semula beberapa bahagian di Beirut dan sebahagian besar kawasan selatan negara itu.

Bangunan di kawasan kejiranan Ghobeiry di pinggir selatan Beirut turut dibedil ganas.
Arahan pemindahan paksa turut dikeluarkan ke atas penduduk sejak beberapa hari lalu terutamanya di kawasan penempatan dan hab komersial di Dahiyeh, pinggir Beirut yang menjadi kubu kuat Hizbullah sejak sekian lama.
Lebih 300,000 orang awam telah diusir dari selatan Lubnan setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai ‘zon larangan’.

Pasukan Pertahanan Awam berusaha mengawal kebakaran di sebuah fasiliti penjanaan elektrik di bandar Tyre.
Komuniti yang berada di selatan Sungai Litani juga dipaksa untuk meninggalkan kediaman masing-masing dan menuju ke utara. Situasi itu dilihat seakan-akan mengulangi nasib penduduk Palestin di Genting Gaza yang diarah berpindah-randah tanpa arah tuju oleh IDF sejak lebih dua tahun lalu.
Tindakan pencerobohan ke atas Beirut itu merupakan yang pertama dilancarkan IDF sejak Jun 2025.

Lebuh raya utama sesak dibanjiri kenderaan penduduk yang meninggalkan kawasan di selatan Lubnan pada awal minggu lalu. Sumber foto: Agensi/AFP
Angka korban serangan ganas dilancarkan Zionis itu turut meningkat kepada lebih 100 orang manakala kira-kira 638 dilaporkan cedera.
Sementara itu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich memberi amaran kononnya kawasan pinggir selatan Beirut akan berdepan kemusnahan sama seperti Gaza.
“Tidak lama lagi Dahiyeh akan jadi seperti Khan Yunis,” katanya dengan angkuh merujuk kepada kawasan selatan wilayah Gaza yang binasa teruk.

Sebuah keluarga terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas IDF mengeluarkan arahan pemindahan paksa.
Menurutnya, IDF sedang menyerang pusat kekuatan di Iran dan pada masa yang sama akan melumpuhkan Hizbullah.
Israel sebenarnya mahu melaksanakan rancangan jahat untuk menubuhkan zon penampan di selatan Lubnan setelah pasukan tentera mula mara ke bandar-bandar sempadan.
Pelan tersebut didedahkan setelah Menteri Pertahanan, Israel Katz mengarahkan askar Zionis supaya merampas kawalan kedudukan strategik tambahan kononnya bagi mencegah serangan ke atas komuniti Yahudi yang menetap di kawasan perbatasan.

Orang ramai mengiringi jenazah beberapa mangsa yang terkorban dalam serangan di Baalbek menuju ke kawasan perkuburan di bandar timur Lubnan.
Israel dikatakan merancang untuk meneruskan kemaraan sejauh antara 10 dan 15 kilometer (km) di bahagian selatan Lubnan.
Ketika perang terakhir pada November 2024, IDF memusnahkan perkampungan dan bandar di sempadan Beirut hingga menyebabkan ramai penduduk tidak dapat kembali ke rumah masing-masing setelah gencatan senjata goyah berkuat kuasa.

Sebuah kereta kebal utama IDF, Merkava Mark IV dan kenderaan tempur infantri (IFV) dikerahkan ke kawasan bersempadan Lubnan.
Sejak 1982 hingga 2000, Israel menduduki kawasan sehingga 20km di wilayah Lubnan dan kini dikhabarkan merancang untuk mengukuhkan kedudukannya di jalur sempadan yang diduduki selepas pencerobohan lebih empat dekad lalu.
Ringkasan AI
- Israel terus mengebom ibu kota Lubnan dan meningkatkan ketegangan di Asia Barat
- Lebih 300,000 orang diusir dari selatan Lubnan setelah kawasan itu diisytiharkan sebagai ‘zon larangan’
- Serangan terhadap Beirut adalah yang pertama sejak Jun 2025, dengan korban lebih 100 orang dan 638 cedera
- Israel merancang untuk menubuhkan zon penampan di selatan Lubnan dan merampas kawalan kedudukan strategik
- Perang terakhir pada November 2024 menyebabkan ramai penduduk tidak dapat kembali ke rumah, Israel merancang mengukuhkan kedudukan di sempadan Lubnan yang diduduki sejak 1982



