am@hmetro.com.my
Melaka: Ramadan kali ini membawa sinar buat enam beradik yatim piatu apabila penantian lebih lapan tahun untuk memiliki dokumen pengenalan diri akhirnya terubat selepas dua daripada mereka menerima MyKad baru-baru ini.
Adik keempat, Khalid Abdullah, 16, berkata, sebelum ini, dia sering berasa risau memikirkan masa depannya berikutan ketiadaan dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, selepas menerima MyKad, dia kini boleh menarik nafas lega dan memberi tumpuan kepada pelajaran serta mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang ahli perniagaan.
Katanya, Ramadan kali ini benar-benar berbeza apabila dapat menatap kad berwarna biru yang selama ini diimpikan dan dimiliki rakyat warga Malaysia.
“Gembira dan tidak sangka akhirnya saya dapat MyKad dalam bulan Ramadan, apabila saya pandang MyKad itu, ibarat saya melihat masa depan saya.
“Sebelum ini saya risau kalau tak ada MyKad, saya nak ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan, macam mana nak sambung belajar dan cari kerja nanti, tapi Alhamdulillah akhirnya dapat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tangga Batu baru-baru ini.
Enam beradik itu ialah Nur Aziza, 19; Ahmad Bahrom, 18; Mohammad Hadrul, 17; Khalid, 16; Mohammad Said Maulidin, 13; dan Siti Khadijah, 11.
Sementara itu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau antara individu terawal membantu menguruskan mereka mendapatkan dokumen kewarganegaraan selepas adik beradik itu kematian ibu bapa.
Menurut Azman, selain Khalid, seorang lagi adik Khalid, Mohammad Said Maulidin, 13, yang kini belajar di Madrasah Rhadiatul Addawiyah turut menerima dokumen pengenalan diri berkenaan.
Beliau mula membantu adik-beradik itu mendapatkan sijil kelahiran dan MyKad sejak 2018 memandangkan ibu mereka warga Filipina namun meninggal dunia pada 2016, manakala bapa yang berasal dari Sabah meninggal dunia pada 2021.
“Mereka tidak didaftarkan kelahiran menyebabkan menghadapi masalah untuk proses dokumentasi kerana banyak dokumen tidak lengkap termasuk tiada sijil nikah serta dokumen kelahiran ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata, dua daripada mereka selesai proses mendapatkan MyKad, manakala empat lagi adik-beradik itu dijangka memperoleh dokumen berkenaan selepas melalui beberapa prosedur permohonan.
“Sementara itu adik bongsu mereka yang kini berusia 11 tahun hanya boleh memohon MyKad selepas berusia 12 tahun iaitu selepas ulang tahun kelahirannya pada Mei tahun depan.
“Bagaimanapun, tiga lagi termasuk kakak sulung dan dua abang yang berusia 16 tahun ke atas perlu melalui proses lain yang dijangka mengambil masa dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mempercepatkan proses berkenaan.
“Insya-Allah apabila mereka mendapat MyKad, mereka tidak lagi tercicir daripada menerima sebarang bantuan kerajaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




