am@hmetro.com.my
Narathiwat: Seorang bekas pemain bola sepak Kelantan masih belum didakwa di Mahkamah Narathiwat atas pelbagai kesalahan, termasuk pembunuhan seorang lelaki Malaysia tahun lalu.
Pengarah Penjara Narathiwat, Superintendan Surin Chantep, berkata bekas pemain berusia 31 tahun itu akan terus ditahan di penjara walaupun perintah reman selama 84 hari terhadapnya tamat.
Katanya pihak berkuasa penjara masih menunggu arahan selanjutnya daripada mahkamah.
“Bekas pemain bola sepak Kelantan itu masih menunggu perbicaraan bersambung semula di Mahkamah Narathiwat. Dia mungkin berdepan pertuduhan membunuh lelaki Malaysia di pekan Sungai Golok, serta kesalahan-kesalahan lain,” katanya.
Difahamkan, selain membunuh, suspek juga bakal berhadapan dengan pertuduhan lain termasuk pemilikan senjata api dan peluru secara haram.
Membawa senjata api di tempat awam tanpa permit atau alasan yang munasabah.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, maut ditembak di rumahnya di pekan Sungai Golok, 1 November tahun lalu.
Susulan kejadian itu, polis Thailand menahan suspek selepas dia menyerah diri pada 2 November.
Suspek direman di Penjara Narathiwat selepas Mahkamah Narathiwat menolak permohonan ikat jamin memandangkan kesalahan yang dilakukannya serius.
© New Straits Times Press (M) Bhd




