Serlah gaya lasak elemen sporty

Serlah gaya lasak elemen sporty

lizamridzuan@hmetro.com.my

SEJAK kemunculan sulungnya di pasaran Malaysia pada 2018, Ford Ranger Raptor mencetuskan fenomena luar biasa dalam segmen trak pikap prestasi tinggi.

Namun, segalanya melonjak ke tahap baharu apabila Ford memperkenalkan model Serba Baharu pada 2022. Bukan sekadar satu evolusi kosmetik atau facelift biasa, jentera generasi kedua ini tampil dengan kejuruteraan radikal menerusi nadi petrol 3.0L V6 Twin-Turbo EcoBoost.

Vroom berkesempatan memandu uji model itu baru-baru ini, yang kini menawarkan kepelbagaian rangkaian kuasa bagi melengkapi varian diesel sedia ada.

Dari aspek reka bentuk, ia tampil dengan imej yang lebih maskulin dan lasak menerusi gerbang roda yang lebar serta lampu hadapan Matrix LED berbentuk-C yang menjadi identiti global Ford.

Gril hadapan dengan tulisan ‘FORD’ yang dominan memberikan amaran visual tentang keupayaan jentera ini, sekali gus membezakannya daripada varian Ranger yang lain.

Menjengah ke bahagian sisi, ia dilengkapi rim aloi bersaiz 17 inci berwarna kelabu gelap yang dibalut tayar prestasi BFGoodrich All-Terrain KO2 bagi cengkeraman maksimum untuk pelbagai permukaan jalan.

Pada bahagian belakang, identiti Raptor diteruskan dengan lampu LED serta sepasang ekzos berkembar yang diletakkan pada dua bahagian di bawah bampar, memberikan bayangan jelas tentang kuasa yang tersimpan.

Memasuki ruang kabin, suasana premium jelas terasa menerusi penggunaan material berkualiti tinggi dan kemasan jingga (Code Orange).

Tempat duduk hadapan yang mendapat inspirasi daripada jet pejuang F-22 bukan sahaja menawarkan keselesaan optimum untuk perjalanan jauh, malah memberikan sokongan sisi yang mantap ketika pemanduan agresif.

Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran skrin sentuh vertikal bersaiz 12 inci dengan sistem SYNC 4A. Paparan maklumatnya sangat jelas dan mesra pengguna serta menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Pengalaman pemanduan penulis turut dipertingkatkan dengan sistem audio premium Bang & Olufsen (B&O) menerusi lapan pembesar suara yang menawarkan kualiti bunyi cukup jelas dan mendalam.

Walaupun saiz fizikalnya agak besar untuk pemanduan bandar, bantuan teknologi seperti kamera 360 darjah dan sensor parkir memudahkan pengendalian di ruang sempit.

Nadi utama jentera ini ialah enjin petrol 3.0L V6 Twin-Turbo EcoBoost yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 397 PS pada 5,650 rpm dan tork setinggi 583 Nm pada 3,500 rpm. Padanan transmisi automatik 10-kelajuan memastikan penghantaran kuasa dilakukan dengan pantas tanpa sebarang sela masa (turbo lag) yang ketara.

Salah satu keunikan teknikalnya adalah sistem anti-lag pada mod pemanduan Baja yang mengekalkan putaran turbo sehingga tiga saat selepas pendikit dilepaskan untuk mengekalkan momentum kuasa yang kritikal.

Prestasi pengendaliannya pula banyak bergantung kepada sistem suspensi FOX 2.5-inci Live Valve Internal Bypass yang melaras daya redaman secara automatik sebanyak 500 kali sesaat berdasarkan input permukaan jalan, sekali gus memberikan keseimbangan antara keselesaan di lebuh raya dan ketegaran di laluan off-road.

Sistem ekzos aktif dengan empat mod pilihan iaitu Quiet, Normal, Sport dan Baja yang membolehkan penulis menentukan karakter bunyi enjin mengikut kesesuaian persekitaran.

Mod Quiet sangat ideal untuk kawasan perumahan, manakala Baja menawarkan bunyi V6 yang lebih garang seakan-akan jentera prestasi.

Di atas jalan raya biasa, kualiti pemanduannya setanding dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah walaupun dibina di atas kerangka tangga (ladder frame).

Sistem Watt’s Linkage pada suspensi belakang meminimumkan pergerakan sisi, manakala sistem stereng kuasa elektrik (EPAS) ditala dengan baik untuk memberikan respon yang tepat tanpa terasa terlalu berat. Keupayaan laluan lasaknya pula disokong oleh tujuh mod pemanduan terpilih daripada Sand sehingga ke mod ikonik Baja.

Dari sudut keselamatan, Ford melengkapkan Raptor dengan pakej Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang komprehensif merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Stop-and-Go, Amaran Keluar Lorong, Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Bantuan Kekal Lorong, serta Pemantauan Titik Buta (BLIS) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Selain itu, ia turut dilengkapi Bantuan Parkir Aktif 2.0, Lampu Tinggi Automatik, dan tujuh beg udara keselamatan bagi memastikan perlindungan menyeluruh buat pemandu serta penumpang dalam pelbagai situasi pemanduan.

Secara keseluruhannya, Ford Ranger Raptor 3.0L V6 adalah jentera yang menggabungkan elemen kemewahan, teknologi termaju dan prestasi rali dalam satu pakej lengkap.

Bagaimanapun, dengan profil prestasi tinggi tersebut, aspek kecekapan bahan api mungkin menjadi pertimbangan sekunder buat pemiliknya. Enjin V6 petrol ini memerlukan penggunaan bahan api yang lebih tinggi bagi mengekalkan prestasinya, namun ia merupakan satu pertukaran (trade-off) yang munasabah buat mereka yang mengutamakan kuasa.

Satu lagi elemen yang perlu diperhatikan adalah kapasiti muatan belakang yang sedikit terhad kerana fokus kejuruteraannya adalah pada kestabilan dinamik menerusi penggunaan spring gegelung (coil spring), bukan untuk tugasan mengangkut beban berat ekstrem.

Pada harga bermula RM259,888, ia kekal sebagai pilihan utama bagi penggemar automotif di Malaysia yang mencari identiti serta prestij tersendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top