am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Diana Danielle memaklumkan keadaan kesihatan anaknya, Muhammad, 13, sudah pulih kira-kira 80 peratus susulan penyakit saraf atau Bell’s Palsy dialaminya.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, berkata anak sulungnya kini sudah kembali ke sekolah dan menjalani aktiviti rutinnya seperti biasa.
“Keadaan kesihatan Muhammad sekarang belum betul-betul pulih 100 peratus, dia belum boleh senyum penuh lagi dan mata pun tak boleh tutup penuh lagi tapi ubat yang dibekalkan doktor sudah habis di makan.
“Buat masa ini, dia perlu banyak buat senaman otot pada bahagian mukanya setiap hari untuk aktifkan semula saraf,” katanya ketika ditemui pada majlis Her Series Raya Gathering, di sini.
Mengulas lanjut, kata pelakon filem Imaginur itu, selepas mengalami penyakit saraf, Muhammad sentiasa makan ubat dengan segera jika dia mengalami demam atau selsema.
“Dia kena selsema sikit selepas bermain bola sepak ketika cuaca panas, baru-baru ini dan balik rumah dia terus cepat-cepat makan ubat.
“Kalau dulu, kita yang kena paksa dia makan ubat tapi sekarang dia lebih peka soal kesihatan dan tidak perlu nak diingatkan.
“Sebagai ibu, saya akan sentiasa memantau keadaan kesihatan anak-anak kerana bimbang macam-macam virus merbahaya sekarang termasuk menjaga pemakanan dan tingkatkan pengambilan vitamin untuk mereka,” katanya.
Berkongsi aktiviti Ramadan pula, kata Diana, Muhammad tetap mahu berpuasa penuh walaupun kesihatannya belum pulih sepenuhnya kerana sudah dididik bapanya, pelakon Farid Kamil untuk berpuasa.
“Saya juga beritahu padanya jika tidak larat dia tidak perlu puasa kerana berat badannya juga sudah turun sebanyak lapan kilogram susulan penyakit saraf berkenaan.
“Tapi dia tetap mahu berpuasa kerana Farid memang tegas dalam perkara itu, begitu juga adiknya, Aurora yang sudah masuk tahun kedua berpuasa penuh berkat disiplin bapanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




