Sertai PKR? Usah serius, Tamim Dahri jelaskan permohonan masuk hanya sindiran

Sertai PKR? Usah serius, Tamim Dahri jelaskan permohonan masuk hanya sindiran

Aktivis tanah, Tamim Dahri, menjelaskan bahawa permohonannya untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanyalah satu sindiran dan tidak perlu dianggap serius.

Berkata kepada Sinar Harian, Tamim menyatakan tindakan tersebut ditujukan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, susulan beberapa siri sekatan yang didakwa dikenakan terhadap akaun media sosial miliknya.

“Sebenarnya itu sindiran kepada Fahmi Fadzil kerana beberapa siri sekatan yang menyebabkan akaun Facebook persendirian saya dan halaman Tanah Malaya disekat,” katanya pada Isnin.

Tamim Dahri jelaskan permohonan masuk PKR

Menurut Tamim, sekatan tersebut menyebabkan akaun Facebook peribadinya serta halaman Tanah Malaya tidak lagi dapat diakses sejak bulan lalu.

Beliau turut mendakwa sekatan sama turut dikenakan terhadap platform tanahmalaya.com yang dilancarkan pada November tahun lalu.

Untuk rekod, platform tanahmalaya.com diwujudkan bagi mengumpul data berkaitan lokasi binaan rumah anutan haram yang boleh dikenal pasti melalui sempadan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Platform tersebut kemudiannya berkembang menjadi pangkalan data yang memfokuskan kepada pengumpulan maklumat berkaitan tanah rizab Melayu.

Mengulas lanjut, Tamim berkata, idea untuk ‘memohon’ menyertai PKR timbul kerana Fahmi merupakan pemimpin daripada parti berkenaan.

“Saya pilih PKR kerana Fahmi Fadzil adalah pemimpin daripada parti itu,” katanya.

Menurutnya, tindakan tersebut juga merupakan sindiran kepada pihak tertentu yang menuduhnya sebagai penyokong Perikatan Nasional (PN) serta melabelkannya dengan ejekan ‘walaun’.

Beliau berkata, situasi tersebut turut berkait dengan pendedahan lokasi kuil haram yang pernah dilakukannya sebelum ini yang ketika itu tidak melibatkan negeri Kedah yang ditadbir PN.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati terdapat segelintir pihak yang tersalah tafsir tindakan tersebut dan mendakwa beliau sekadar mahu meraih perhatian bagi mendapatkan jawatan dalam parti politik.

Malah, terdapat juga desakan daripada beberapa pihak supaya PKR menolak permohonan tersebut, termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat.

Artikel lain: Belum diluluskan! Tamim Dahri baru mohon sertai, dalam proses saringan parti PKR – Fuziah

Desakan tersebut dibuat selepas laporan media memaklumkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, mengesahkan pihaknya menerima borang keahlian Tamim.

Tamim berkata, beliau sebenarnya tidak berminat untuk terlibat dalam politik dan tidak menyangka sindiran yang dibuat akan ditafsirkan secara serius oleh sebahagian pengguna media sosial.

“Alahai penat macam ini kalau sindiran pun perlu dijelaskan. Nanti tak menjadi sindiran itu,” katanya berseloroh.

Sumber: Sinar Harian (Izwan Rozlin)

Scroll to Top