am@hmetro.com.my
Butterworth: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dan penyimpanan dadah jenis Syabu serta Pil Erimin 5 dengan merampas hampir 42 kilogram (kg) bahan larangan berkenaan yang bernilai RM2.7 juta dalam serbuan di tempat parkir kenderaan di daerah Seberang Perai Utara, di sini, Khamis dan Jumaat lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail, berkata serbuan jam 4 petang itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang berperanan sebagai ‘runner’.
Menurutnya, penahanan dibuat berikutan hasil pemeriksaan terhadap beg yang dipegang suspek telah menemui sejumlah dadah dan kunci kereta.
“Berpandukan kunci kereta itu pula, polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta serta menemui 28 bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki syabu keseluruhan dianggarkan seberat 29,466 gram(g).
“Polis kemudian dibawa ke kawasan sama oleh suspek dan membuat pemeriksaan terhadap sebuah lagi kereta yang menemui empat bungkusan plastik mengandungi 4,000 aluminium foil setiap satu berisi Pil Erimin 5 dianggarkan seberat 12,546g,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, hasil risikan mendapati aktiviti penyimpanan dan pengedaran dadah oleh ‘runner’ itu bergiat aktif sejak awal Januari.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tangkapan negatif sebarang dadah dan semakan mendapati dia turut mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Suspek direman selama enam hari bermula 6 Mac hingga 11 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




