Penyanyi dan pelakon, Amira Othman menafikan dakwaan kononnya dirinya kini hamil susulan kemunculan babak seakan sarat mengandung dalam video muzik (MV) lagu Bincang Raya.
Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 33, berkata babak tersebut hanyalah sebahagian daripada jalan cerita dalam MV berkenaan dan tidak membawa sebarang maksud lain.
Menurut Amira, elemen tersebut dimasukkan sebagai plot twist bagi menambah kelainan dalam penceritaan video muzik berkenaan.
“Babak itu tak ada kena mengena dengan isu hamil. Saya pun ada tanya suami kenapa ada babak macam itu.
“Kami cuma nak letakkan sedikit plot twist dalam cerita MV tersebut, bukan nak bagi sebarang petunjuk,” katanya.
Amira berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran video muzik Bincang Raya yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Dalam masa sama, Amira berkata sejak awal perkahwinannya lagi dia sering menerima komen daripada orang ramai yang mendakwa bentuk badannya kelihatan seperti mempunyai ‘baby bump’.
Bagaimanapun, Amira menegaskan sekiranya benar dia hamil, perkara itu tidak akan disembunyikan daripada pengetahuan peminat.
“Sejak awal kahwin lagi orang cakap nampak macam ada baby bump. Kalau memang betul ada berita gembira, kami akan kongsikan,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, dia dan suaminya, aktor Fattah Amin, akan berkongsi perkara tersebut pada waktu yang dirasakan sesuai.
“Insya-Allah kalau ada perkara baik, pada masa yang sesuai kami akan kongsikan.
“Bukan nak sembunyikan apa-apa, cuma kami juga fikirkan keluarga dan nasihat daripada orang alim ulama” katanya.

Video muzik Bincang Raya mula ditayangkan secara rasmi pada jam 7 malam Isnin menerusi saluran YouTube.
Sekadar info, Amira mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada 14 September tahun lalu.




