suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan integriti dan tadbir urus dalam sektor pertahanan negara terus diperkasa.
Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman ke Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Pertemuan sulung ini juga menandakan pelantikan beliau sebagai PAT ke-24 ATM yang berkuat kuasa sejak 1 Februari lalu.
Difahamkan, antara fokus utama pertemuan itu ialah membincangkan pelaksanaan tatakelola berkaitan pengurusan perolehan, tender dan sebut harga bagi tempoh enam bulan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, melalui kerjasama ini, SPRM dan ATM turut akan memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bahagian Perisikan SPRM dan Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO).
“Inisiatif ini dilihat sebagai pendekatan strategik bagi memastikan setiap proses dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta mematuhi peraturan dan tatakelola kewangan kerajaan.
“SPRM bersetuju untuk bekerjasama dengan ATM daripada aspek latihan pengurusan integriti dan penambahbaikan strategi antirasuah ATM,” katanya ketika pertemuan itu, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Saharudin Harun dan Inspektor Jeneral Markas ATM, Laksamana Muda Shahriman Mahmud.
Untuk rekod, pertemuan itu juga memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dalam pengurusan media serta penambahbaikan mekanisme komunikasi bagi menyokong agenda pencegahan rasuah dalam sektor pertahanan.
Selain itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai beberapa isu teknikal dan peluang kerjasama dua hala antara SPRM dan ATM bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian serta memperkukuh budaya integriti dalam institusi pertahanan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




