'Jika mahu pulang silakan, jika tidak tiada paksaan'

'Jika mahu pulang silakan, jika tidak tiada paksaan'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wanita UMNO mengingatkan semua pihak supaya tidak memperlekehkan inisiatif Rumah Bangsa yang mempelawa bekas ahli dan pemimpin parti itu untuk kembali menyertai UMNO.

Pengarah Komunikasi Strategik, Penerangan, Media dan Digital Wanita UMNO Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman berkata, tawaran yang diumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bersifat terbuka dan tidak ditujukan kepada individu tertentu.

Justeru, katanya, adalah tidak wajar memperlekehkan jemputan yang ditujukan kepada ribuan bekas ahli dan pemimpin yang sudah menyatakan hasrat untuk kembali bersama UMNO.

“Hakikatnya, langkah ini mempunyai risiko besar.

“Mengundang kembali mereka yang ‘bermasalah’ memerlukan keyakinan terhadap kekuatan dalaman parti itu sendiri, lebih-lebih lagi apabila sebahagian daripada mereka pernah mencabar kepimpinan tertinggi dan menggoncang kestabilan parti suatu ketika dahulu.

“Namun Presiden dan kepimpinan hari ini memilih untuk menolak ke tepi risiko, soal peribadi serta sejarah silam dan menumpukan perhatian kepada agenda yang lebih besar di hadapan, iaitu kelangsungan parti serta masa depan orang Melayu.

“Jika mahu pulang, silakan. Jika tidak, tiada siapa yang memaksa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa yang juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan UMNO.

Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, permohonan menyertai Rumah Bangsa menerima sambutan amat menggalakkan, namun ia akan dinilai oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mengelak masalah pada masa depan.

Mengulas lanjut, Nik Suryani berkata, mereka yang sudah memohon kembali melihat UMNO sebagai parti yang paling stabil, tanpa konflik terbuka, malah konsisten memberikan khidmat kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau dalam nada berseloroh berkata, jumlah bekas ahli lelaki yang akan memohon kembali ke pangkuan UMNO diyakini lebih ramai berbanding wanita.

“Barangkali kerana Wanita UMNO terkenal dengan disiplin dan kesetiaannya.

“Kredibiliti untuk menyeru penyatuan yang lebih besar hanya lahir apabila rumah sendiri terlebih dahulu tersusun dan kukuh.

“UMNO dilihat sedang mengorak langkah berani ke arah itu dengan memilih untuk membuka pintu, bukan menutupnya, apatah lagi dengan membuang ahli,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top