'Saya pangku abang hingga hujung nyawa'

'Saya pangku abang hingga hujung nyawa'

am@hmetro.com.my

Kluang: “Saya sempat ajar abang mengucap beberapa kali ketika sedang memangku dia namun tidak lama kemudian, barulah saya sedar abang sudah pergi buat selama-lamanya.”

Demikian perkongsian Umi Qurratul Ain Salihin, 20, ketika menceritakan detik meruntun jiwa kerana kehilangan abangnya Mohd Nor Salihin, 37, yang maut selepas kereta dinaiki melanggar jengkaut di Kilometer 70, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Ladang Tabung Haji, jam 12 tengah malam tadi.

Umi Qurratul yang juga penuntut diploma Kolej Vokasional Kota Tinggi itu berkata, kemalangan berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah kakak ipar di Taman Gunung Lambak, di sini, selepas berbuka puasa di rumah ibunya di Bandar Tenggara.

“Kami bergerak pulang ke Kluang menaiki dua kereta berasingan. Abang bersama dua anak tirinya, Nawwal Husna, 7, dan Isyah Radiah Mohd Aizam, 10, manakala saya dengan kakak ipar (isteri abang) Noradilah Abd Aziz, 34, serta ibu mentua, Siti Aisah Yusof, 63.

“Abang bergerak dulu dan kami mengekorinya dari belakang namun jarak kereta kami dengan kereta dipandu abang agak jauh.

“Tiba-tiba kakak ipar yang memandu memperlahankan kereta kerana melihat kemalangan. Kakak ipar bertanya saya, siapa yang kemalangan itu namun apabila mendekatinya, baru dia sedar kereta yang terbalik itu adalah suaminya.

“Tanpa membuang masa, kakak ipar memberhentikan kereta di tepi jalan lalu meluru ke arah kereta abang yang terbalik dan sedang terbakar.

“Saya terdengar kakak ipar menjerit ‘suami aku…suami aku…’ Saya terkejut dengan jeritan kakak dan terus keluar dari kereta, saya ketuk pintu sebelah pemandu sambil memanggil abang,” katanya.

Menurutnya, orang ramai mula datang menghulurkan bantuan termasuk memecahkan cermin kereta untuk bawa keluar dua anak tiri serta abang saya.

Namun katanya, ketika itu, hanya Nawwal Husna dan Isyah Radiah berjaya dikeluarkan manakala abang masih tersepit di tempat pemandu dalam keadaan api yang semakin membesar.

“Akhirnya dengan bantuan orang ramai abang berjaya dikeluarkan. Saya lihat sebelah kakinya sudah melecur lalu saya terus memangkunya.

“Ketika dalam pangkuan saya, abangnya masih bernyawa dan saya terus mengajarnya mengucap sambil memanggil namanya beberapa kali walaupun tiada sahutan.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi kemudian memeriksa abang namun saya hairan bila dia mengambil jaket abang lalu menutup muka. Masa itulah baru saya tahu abang sudah tiada,” katanya.

Menurut Umi Qurratul, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi kerana ujian ini adalah kali kedua selepas kehilangan dua insan tersayang hanya dalam tempoh sebulan.

“Ujian pertama saya ialah kehilangan ayah pada 8 Februari lalu, kini abang pula menyusul. Arwah abang sangat baik, selepas ayah meninggal, abang menggalas sepenuhnya tugas arwah ayah sebagai ketua keluarga,” katanya.

Sementara itu, Umi Qurratul merayu orang awam mempunyai papan pemuka supaya menghantar mesej melalui akaun Facebook miliknya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa tidak sempat mengelak sebuah jentera berat yang berada di laluan sama.

Katanya, nahas berlaku pada jam 12 tengah malam menyebabkan kereta dipandu mangsa terbalik di bahu jalan sebelum terbakar.

“Pemandu dan penumpang sempat dikeluarkan orang awam sebelum api marak. Namun, pemandunya disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.

“Pemandu jengkaut berusia 37 tahun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top