redzuan.muharam@hmetro.com.my
Sungai Petani: Umurnya baru sembilan bulan namun berat kepalanya saja mencecah 13 kilogram (kg) akibat hidrosefalus atau lebihan cecair dalam kepala.
Penyakit itu dikesan ketika Muhammad Mateen Aryan Muhammad Hanif atau nama manjanya Mateen berusia enam bulan dalam kandungan ibunya, Habidah Nasruddin, 31.
Berikutan keadaan itu, doktor pernah meramalkan Mateen hanya boleh hidup antara 14 hari hingga dua bulan namun masih diizinkan Allah SWT untuk bernafas sehingga kini.
Berkongsi kisah Mateen, bapanya, Muhammad Hanif Zakaria, 32, yang menetap di Taman Ria Jaya, dekat sini, berkata, bukan mudah menerima hakikat anaknya menanggung derita sejak dilahirkan.
“Awalnya susah nak terima dan tak tahu macam mana mahu menjaga bayi macam Mateen kerana dua anak sebelum ini normal.
“Lama-kelamaan, saya reda dengan ketentuan Allah SWT malah semakin Mateen besar, bertambah sayang saya dengannya.
“Saya jadi kuat kerana ramai beri semangat terutama setiap kali bersiaran langsung di TikTok. Ramai juga yang prihatin dan sayangkan Mateen hingga beri sumbangan buatnya walaupun tak kenal kami,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Muhammad Hanif yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, isterinya suri rumah jadi banyak membantu menjaga dan menguruskan Mateen.
Pada sebelah malam pula, Muhammad Hanif akan mengambil alih tugasan isterinya dan begitulah rutin hariannya kerana Mateen memerlukan perhatian rapi.
“Dulu, kami boleh dukung Mateen macam biasa tapi sekarang pun isteri tak larat nak angkat kerana semakin lama, kepalanya terus membesar.
“Jika di rumah, saya yang kena bantu mandikan dan Mateen tak banyak kerenah cuma mudah dapat sakit serta berjangkit dengan demam.
“Tapi tiada masalah lain kerana tumbesarannya normal macam bayi lain,” katanya.
Muhammad Hanif berkata, setakat ini, doktor belum mengesyorkan sebarang pembedahan kerana berisiko buat Mateen, jadi hanya menjalani pemeriksaan berkala di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk perkembangan dan mengukur saiz kepala anaknya.
Bagaimanapun, Muhammad Hanif masih mengharapkan keajaiban untuk melihat Mateen sihat dan membesar dengan normal seperti bayi yang lain.
“Sebagai bapa, saya akan ikhtiar dan cuba cari jalan merawat Mateen serta minta orang ramai mendoakan anak saya.
“Siapa tahu, ada doa yang diangkat dan dimakbulkan Allah SWT.
“Saya kongsi video anak syurga saya di TikTok pun kerana nak jadikan kenangan selain harapkan doa daripada orang ramai. Tak ada niat nak minta simpati jauh sekali ambil kesempatan walaupun memerlukan,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7632966954 atas nama Muhammad Hanif Zakaria.
© New Straits Times Press (M) Bhd




