Dekorasi Raya Inspired Songket? ‘Seindah Corak Aidilfitri’ Di Sunway Pyramid Memang Lain Macam

Dekorasi Raya Inspired Songket? ‘Seindah Corak Aidilfitri’ Di Sunway Pyramid Memang Lain Macam

Kalau sebut pasal dekorasi Raya di mall, selalunya kita expect lampu-lampu cantik, gerai baju Raya dan beberapa spot OOTD. Tapi tahun ini, Sunway Pyramid tampil dengan konsep yang sedikit berbeza menerusi kempen “Seindah Corak Aidilfitri.”

Bermula 27 Februari hingga 29 Mac, ruang LG2 Blue Concourse di mall ini bertukar wajah menjadi dekorasi Raya yang diinspirasikan daripada seni tekstil tradisional Melayu seperti songket, tenun, batik dan tekat.

Corak-corak klasik ini diolah dalam sentuhan moden, menjadikan suasana Raya di sini nampak lebih aesthetic dan lain daripada yang biasa kita lihat.

Bukan sekadar dekorasi cantik, pengunjung juga boleh melihat pameran khas koleksi songket Melayu dan tekstil tradisional yang wujud sejak sekitar tahun 1920-an.

Pameran ini dikurasi oleh kurator tekstil, Mohammad Khairulanwar Rahmat, yang menghimpunkan beberapa helaian tekstil lama yang cukup bernilai dari segi seni dan sejarah.

Menariknya, pameran ini turut digabungkan dengan elemen teknologi melalui kerjasama dengan Sunway University. Pengunjung boleh mengimbas kod QR yang disediakan untuk mengaktifkan pengalaman Realiti Terimbuh (AR) dan mengetahui kisah, teknik serta simbolik di sebalik setiap motif tekstil yang dipamerkan.

Dalam masa yang sama, suasana Raya di ruang legar ini turut dihidupkan dengan elemen nostalgia seperti permainan tradisional congkak dan batu seremban, selain sudut fotografi bertemakan Raya di kawasan air pancut yang memang sesuai dijadikan latar gambar bersama keluarga dan rakan-rakan.

Bagi yang masih mencari persiapan Raya, pengunjung juga boleh singgah ke Raya Market by Sukaseni di LG1 Foyer, Oasis, yang menampilkan pelbagai pilihan barangan perayaan termasuk busana Raya, aksesori dan hasil kraftangan tempatan.

Menariknya lagi, kempen ini turut membawa mesej komuniti. Melalui program Spend & Redeem, pengunjung berpeluang mendapatkan SURI Handmade Raya Pouch yang dihasilkan dengan kerjasama SURI Lifestyle. Beg mini Raya ini dijahit secara buatan tangan oleh 30 ibu tunggal dari Klang dan Langkawi, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan melalui kemahiran jahitan.

Pendek kata, kempen Seindah Corak Aidilfitri di Sunway Pyramid kali ini bukan sekadar tentang dekorasi Raya, tetapi turut menggabungkan elemen warisan budaya, teknologi moden, aktiviti nostalgia dan pengalaman membeli-belah dalam satu suasana perayaan yang lebih bermakna.


Scroll to Top