Madrid: Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa, menegaskan bahawa pasukannya tidak seharusnya merasa goyah ketika menentang Manchester City pada pusingan 16 pertama Liga Juara Juara, walaupun tanpa penyerang bintang Kylian Mbappe yang cedera lutut.
Mbappe tidak menyertai latihan menjelang pertemuan Rabu di Santiago Bernabeu, namun Arbeloa berkata penyerang Perancis itu semakin pulih.
“Kami adalah Real Madrid dan saya percaya kami tidak pernah merasa lebih rendah daripada mana-mana pasukan. Tidak kira situasinya, tidak kira siapa lawan di depan kami, kami harus yakin,” kata Arbeloa kepada media.
Selain Mbappe, Madrid turut kehilangan beberapa pemain utama lain termasuk Jude Bellingham, Rodrygo Goes dan Eder Militao.
Tanpa Mbappe, penyerang Brazil, Vinicius Junior, akan mengetuai serangan Real Madrid. “Dia memikul banyak tanggungjawab. Kami perlukan prestasi terbaik daripadanya jika mahu menyingkirkan Manchester City,” tambah Arbeloa.
Arbeloa yang mengambil alih tugas dari Xabi Alonso pada Januari berkata, dua bulan pertama beliau sebagai jurulatih adalah pengalaman pembelajaran besar. Beliau juga menjangkakan Pep Guardiola membawa kejutan apabila tiba di Madrid.
“Dia sentiasa bersedia dengan sesuatu yang berbeza. Dalam perlawanan jenis ini, Guardiola pasti ada kejutan tersendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




