KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk A. Aida mengakui terdetik untuk berhijab selepas tersedar daripada keadaan ditidurkan akibat komplikasi pembedahan lutut yang hampir meragut nyawanya.
Menurut A. Aida, ketika berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor telah memaklumkan kepada keluarganya bahawa peluang untuk dirinya sembuh amat tipis.
Malah, doktor juga meminta ahli keluarganya bersedia dengan kemungkinan terburuk.
“Ketika saya di ICU, doktor sudah maklumkan kepada anak saya supaya panggil keluarga terdekat dan minta mereka buat solat hajat serta bacaan Yasin. Kata doktor, saya tiada peluang lagi.
“Kalau hidup pun, kemungkinan saya akan jadi seperti ‘sayur’ dan tidak akan ingat apa-apa,” katanya.
Namun, sebaik sahaja sedar, A. Aida terkejut apabila individu pertama yang dilihatnya ialah pendakwah bebas, Ustaz Izhar Ariff yang hadir memberikan kata-kata nasihat.
“Apabila saya celik mata, saya nampak Ustaz Izhar Ariff. Ayat pertama yang dia cakap, dia minta saya pakai tudung. Hati saya terus tersedar dan saya buat keputusan untuk bertudung. Sepanjang sebulan tempoh pemulihan, kata-kata ustaz itu sentiasa bermain di fikiran saya,” katanya.
Aida berkata demikian ketika ditemui pada program rakaman Melodi Raya 2026 yang berlangsung di Restoran Saloma, di sini, semalam.
Tambah A. Aida, kata-kata anak keduanya, Azeva, kira-kira seminggu sebelum Ramadan lalu turut menjadi titik perubahan yang menguatkan lagi hasratnya untuk menutup aurat.
“Seminggu sebelum Ramadan, anak kedua saya tanya, ‘Mama tak nak pakai tudung ke?’Saya terkejut dan kata-kata itu buatkan saya seminggu tak dapat tidur malam.
“Dengan umur saya sekarang, rasanya memang sudah sampai masanya untuk saya berhijab. Ia bukan keputusan yang mudah,” jelasnya.
Sejak bermulanya Ramadan lalu, A. Aida mula mencari semula koleksi tudung lama miliknya dan memakainya secara konsisten sehingga kini.
Katanya, keputusan tersebut turut menggembirakan anak-anaknya.
Dalam pada itu, A. Aida turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesihatannya sepanjang dia berada dalam keadaan kritikal.
“Alhamdulillah, antara asbab saya dapat sembuh juga adalah kerana doa orang ramai. Saya bersyukur kerana masih diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala doa dan jasa kalian,” ujarnya.
Bagaimanapun, A. Aida mengakui penyesalan terbesar dalam hidupnya adalah apabila mengambil keputusan menjalani pembedahan lutut, walaupun kesakitannya ketika itu tidak terlalu serius.
“Perkara yang paling saya kesalkan dalam hidup ini ialah apabila saya membuat keputusan untuk menjalani pembedahan lutut.Pesanan saya kepada orang di luar sana, jangan buat pembedahan lutut kalau tidak benar-benar sakit.
“Lutut kita ini ibarat tayar. Kalau sudah rosak, agak sukar untuk kita berjalan dengan baik. Doktor mungkin boleh beri janji-janji manis, tetapi akhirnya kita yang perlu menanggungnya,” katanya.
Tambah Aida, kehidupannya kini juga berubah apabila terpaksa bergantung kepada beberapa jenis ubat selepas pembedahan tersebut.
“Sebelum ini saya sangat aktif dan tidak pernah makan ubat. Sekarang saya perlu makan ubat cair darah, ubat kolesterol dan ubat darah tinggi. Boleh dikatakan kini saya perlu hidup dengan ubat,” katanya lagi.
Sebelum ini, A. Aida dilaporkan rebah ketika menjalani rawatan fisioterapi selepas menjalani pembedahan lutut, sebelum terpaksa ditidurkan akibat komplikasi yang dialaminya.




