norhayati_nordin@hmetro.com.my
Ampang: “Saya okay, tapi saya rindu nak minum teh o ais,” kata pelakon juga pelawak veteran, Sathiya, 62, yang kini dirawat di Hospital Ampang, di sini, selepas menjalani pembedahan kaki kirinya yang dipotong hingga atas paras lutut, semalam.
Sathiya berkata, dia menerima keadaan kaki kirinya dengan hati terbuka dan ingin segera pulih untuk pulang ke rumah serta kembali bekerja untuk menyiapkan dua lagi iklan komersial Aidilfitri yang ditangguhkan penggambarannya.
“Saya suka berlakon sebab itu memang kerja saya sejak dari dulu. Tapi bila sudah sakit macam ini dan sekarang masuk ke hospital hingga kaki kiri kena potong lagi.
“Tapi jangan risau, saya kuat. Saya happy saja sebab Tuhan sudah bagi macam ini, saya terima. Cuma, saya masih ada kerja ‘shooting’ iklan raya yang belum siap. Ada dua lagi,” katanya kepada Harian Metro ketika menziarahinya, hari ini.
Menurut pelakon sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, walau apa pun berlaku, dia sangat merindui teh o ais yang menjadi minuman utama setiap hari.
“Kalau di rumah, hari-hari saya dapat minum teh o ais. Sudah lebih 40 tahun saya minum teh o ais, tapi sekarang belum boleh minum. Teh o ais di rumah juga sedap.
“Saya rindu betul pada teh o ais, nak minum teh o ais saja,” katanya memaklumkan seronok menerima tawaran berlakon empat iklan komersial untuk sambutan hari raya Aidilfitri pada tahun ini.
Katanya, dia akan meneruskan karier lakonan selepas kembali sihat walaupun perlu berkerusi roda kerana sudah tidak boleh berjalan seperti dulu.
Sementara itu, anak perempuan Sathiya, Amani Nair Satya, 37, berkata keadaan kesihatan bapanya pada masa ini stabil, tetapi masih dalam pemantauan doktor.
“Doktor kata keadaan kesihatan ayah okay dan dia sihat. Tetapi, dia memang asyik minta nak minum teh o ais saja. Itu adalah minuman kegemarannya.
“Tapi disebabkan masih baru menjalani pembedahan semalam, pemakanan harian ayah perlu dijaga dengan baik dan teratur. Buat masa sekarang, dia hanya boleh makan bubur dan makanan lembut dulu.
“Air pula kena minum air mineral. Bagaimanapun, biasalah orang tua kalau dalam keadaan kurang sihat macam ini memang kena tenang dan sabar menjaganya.
“Ayah pula seorang yang ceria dan ramah. Saya serta adik lelaki cuba menjaganya sebaik mungkin mengikut nasihat doktor. Bila ayah boleh keluar dari hospital pun, kami tidak tahu lagi,” katanya.
Katanya, dia memerlukan bantuan kewangan bagi meringankan tanggungan termasuk membeli lampin pakai buang untuk kegunaan harian Sathiya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulur sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7002807503 atas nama Sathival A/L Periasamy.
Semalam, Sathiya dibawa masuk ke dewan bedah Hospital Ampang pada jam 10.10 pagi dan pembedahan selesai kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Sathiya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di zon kuning Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjut pada awal pagi Ahad lalu.
Keadaan kesihatan Sathiya didapati merosot selepas mengadu pening kepala serta mengalami simptom mata menjadi kuning dan muntah-muntah.
Difahamkan, Sathiya sebelum itu terjatuh di rumah pada Jumaat lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




