Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah tahun lalu dalam saman yang difailkan oleh Norhayati Ariffin, isteri aktivis Amri Che Mat yang hilang.
Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zalita Zaidan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin, yang hadir bagi pihak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia, dan peguam Surendra Ananth, yang mewakili Norhayati.
Beliau turut membenarkan penangguhan bagi menggantung penyambungan semula siasatan berhubung kehilangan Amri dan berkata, mahkamah tidak boleh mengarahkan pegawai kerajaan untuk melantik atau menyingkirkan pegawai penyiasat dalam kes itu.
Terdahulu, Zetty Zurina berhujah bahawa kertas siasatan bagi kes itu tidak pernah ditutup dan oleh yang demikian, penangguhan pelaksanaan perintah wajar diberikan sementara menunggu pelupusan rayuan memandangkan perkara tersebut melibatkan keadaan khas.
Surendra pula berkata, anak guamnya tiada bantahan terhadap penangguhan pelaksanaan berhubung ganti rugi dan kos yang diberikan mahkamah, namun meminta agar siasatan terhadap kehilangan suaminya diteruskan seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi kerana ia tidak akan menjejaskan rayuan kerajaan.
Nurhayati telah memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menangani siasatan kes itu.
Pada 5 Nov 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo membuat keputusan yang memihak kepada Nurhayati, dengan mendapati polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kehilangan Amri serta memerintahkan kedua-duanya membayar ganti rugi melebihi RM3 juta.
Selain award berbentuk kewangan, hakim itu mengarahkan pihak polis membuka semula siasatan berhubung kehilangan Amri dan mengemukakan laporan kemajuan kepada Jabatan Peguam Negara setiap dua bulan.
Kerajaan kemudian memfailkan permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan perintah itu pada 8 Jan lepas sementara menunggu pelupusan rayuan.
Amri dilaporkan telah diculik di Perlis sekitar tengah malam pada 24 Nov 2016 selepas kenderaannya dikepung oleh tiga kereta dan lima lelaki.
© New Straits Times Press (M) Bhd




