WASHINGTON – Sepuluh hari selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran, tanda-tanda perbezaan pendirian antara kedua-dua sekutu itu mula kelihatan secara terbuka ketika Presiden Donald Trump berdepan tekanan politik domestik.
Walaupun kedua-dua negara sebelum ini berikrar untuk meneruskan serangan selama beberapa minggu atau bulan, Trump bagaimanapun memberi gambaran berbeza apabila menyatakan kepada CBS News bahawa perang tersebut ‘hampir selesai’.
Perbezaan pendekatan itu turut dipengaruhi pandangan masyarakat di kedua-dua negara.
Di Israel, operasi ketenteraan terhadap Iran mendapat sokongan meluas, manakala di Amerika Syarikat, sokongan terhadap tindakan menyerang Iran berada pada tahap yang rendah.
Kenaikan mendadak harga minyak – faktor sensitif dalam politik Amerika – turut menambah tekanan terhadap pentadbiran Trump.
Pegawai Amerika juga dilaporkan berasa bimbang selepas serangan Israel ke atas depoh bahan api di Teheran menyebabkan asap hitam tebal menyelubungi bandar yang dihuni kira-kira 10 juta penduduk itu.
Malah sekutu rapat Trump dalam Parti Republikan, Lindsey Graham turut menggesa Israel supaya lebih berhati-hati dalam memilih sasaran serangan.
Menurutnya, matlamat utama adalah membebaskan rakyat Iran tanpa memusnahkan peluang mereka membina kehidupan baharu sekiranya pemerintahan republik Islam di negara itu tumbang.
Matlamat AS dan Israel tidak sepenuhnya sama
Penganalisis dari Institut Washington bagi Dasar Asia Barat, Michael Singh berkata, matlamat Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada asasnya sama, namun tidak sepenuhnya seiring.
Menurutnya, Israel mahu Iran dilemahkan secara kekal, terutama kerana kerajaan Iran yang dipimpin ulama selama ini menyokong kumpulan Hamas.
Sebaliknya, Amerika Syarikat mungkin kurang berminat untuk terlibat dalam konflik jangka panjang kerana mempunyai keutamaan lain di pelbagai rantau dunia.
“Amerika Syarikat boleh berundur dan pulang ke tanah air, tetapi Israel tidak mempunyai pilihan itu,” katanya.
Perpecahan politik di Amerika
Sokongan terhadap Israel masih kukuh dalam kalangan Parti Republikan, namun Parti Demokrat serta beberapa tokoh konservatif mula mengkritik tindakan Trump yang dilihat terlalu mengikut langkah Israel dalam konflik serantau itu.
Tinjauan oleh Universiti Quinnipiac menunjukkan 53 peratus rakyat Amerika menentang tindakan ketenteraan terhadap Iran, manakala 44 peratus berpendapat Washington terlalu memihak kepada Israel.
Sementara itu, tinjauan oleh Institut Gallup mendapati buat pertama kali lebih ramai rakyat Amerika bersimpati dengan rakyat Palestin berbanding Israel dalam konflik di Semenanjung Gaza.
Gabenor California, Gavin Newsom yang dianggap calon berpotensi Parti Demokrat dalam Pilihan Raya Presiden 2028 turut mempersoalkan bantuan Amerika kepada Israel dan menyifatkan layanan Israel terhadap rakyat Palestin sebagai ‘negara apartheid’.
Trump punya pengaruh besar terhadap Netanyahu
Penganalisis dari Tabung Endowmen Keamanan Antarabangsa Carnegie, Aaron David Miller berkata, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kini semakin bergantung kepada sokongan Trump.
Menurutnya, Israel juga bakal menghadapi pilihan raya tahun ini dan Netanyahu dijangka mahu menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan penuh Presiden Amerika.
“Jika Donald Trump berkata berhenti, maka perang ini akan berhenti walaupun Israel merasakan misi mereka belum selesai,” katanya. – AFP
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat dan Israel menunjukkan perbezaan pendirian mengenai serangan ke atas Iran
- Trump menyatakan perang ‘hampir selesai’ di tengah tekanan politik domestik
- Sokongan terhadap operasi ketenteraan terhadap Iran berbeza di kedua-dua negara, dengan sokongan meluas di Israel dan rendah di Amerika
- Kenaikan harga minyak menambah tekanan terhadap pentadbiran Trump
- Matlamat Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran tidak sepenuhnya seiring, dengan Israel ingin Iran dilemahkan secara kekal



