am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Berdepan dengan cuaca panas ketika Ramadan serta cabaran memadamkan kebakaran belukar yang berlarutan sejak Isnin lalu.
Itu antara cabaran perit dilalui berpuluh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dan pasukan keluaran operasi (PKO) dari BBP Sebana Cove yang giat memadamkan kebakaran belukar di Jalan Bypass Punggai di sini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Sabri Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 4.08 petang, Isnin lalu.
Menurutnya, pihaknya berdepan cabaran berikutan tiada jalan masuk ke lokasi kebakaran dan tiada punca air
“Kerja-kerja pemadaman sukar dilakukan di kawasan tanah gambut berkeluasan lebih 8.09 hektar. Api kini merebak sehingga mencapai keluasan lebih 29.44 hektar.
“Bagaimanapun, setakat jam 8 malam tadi, sebanyak 20 peratus kebakaran berjaya dipadamkan iaitu membabitkan kawasan kira-kira 5.89 hektar dengan baki kebakaran kini lebih 23.55 hektar,” katanya.
Sabri berkata, pada jam 6 pagi kelmarin, tiada operasi pemadaman dilakukan atas faktor kekangan jalan masuk ke lokasi, ketiadaan sumber air dan penglihatan untuk melakukan operasi pemadaman pada waktu malam amat terhad.
“PKO hanya membuat pemantauan berkala dari semasa ke semasa. Kawasan kebakaran ini bertompok dan dalam kawasan hutan tebal yang gelap dan amat berisiko kepada anggota pada waktu malam.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




