am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang penyelia lelaki direman selepas ditahan kerana disyaki mengintai lelaki sedang melepas ‘hajat’ dalam tandas sebuah kompleks beli-belah di Taman Flora Utama di sini, semalam.
Perintah reman ke atas suspek berusia 31 tahun selama dua hari bermula hari ini, dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan.
Mengikut laporan dibuat, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 32 tahun menggunakan tandas awam di kompleks beli-belah terbabit pada jam 5.15 petang.
Ketika berada dalam tandas, mangsa menyedari seorang lelaki berada dalam tandas bersebelahan, sedang merakamnya dari sudut atas.
Tanpa membuang masa, mangsa terus keluar dari tandas lalu mengejarnya sebelum suspek berjaya ditangkap.
Mangsa meminta bantuan pengawal keselamatan untuk menghubungi polis bagi tindakan lanjut.
Bertindak atas maklumat pada jam 6 petang hari sama, dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menahan suspek selain merampas telefon bimbit bagi tujuan siasatan lanjut.
Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk ditahan seterusnya direkodkan keterangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




