Koeman bakal letak jawatan pengendali Belanda

Koeman bakal letak jawatan pengendali Belanda

Atlanta: Pengendali Belanda, Ronald Koeman dijangka mengumumkan peletakan jawatannya dalam tempoh beberapa hari lagi selepas skuad Oranje tersingkir daripada Piala Dunia di tangan Maghribi pada pusingan pertama kalah mati di Mexico, semalam.

Koeman bagaimanapun enggan membuat sebarang kenyataan muktamad mengenai masa depannya sejurus selepas kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti di Monterrey, namun prestasi hambar sepanjang penggal keduanya mengendalikan pasukan itu menjadikan peluangnya untuk terus kekal semakin tipis di tengah-tengah kritikan hebat media Belanda.

Ketika ditanya secara terus selepas perlawanan menentang Maghribi, yang menyaksikan Belanda dikecam kerana pendekatan bertahan mereka, sama ada beliau sudah mengemukakan peletakan jawatan, Koeman memberikan jawapan berhati-hati.

“Tidak. Ini baru sahaja selepas tamat perlawanan dan kekecewaan masih begitu terasa.

“Pertama sekali, saya perlu susun semula fikiran saya. Saya akan mulakannya esok pagi (Selasa). Mungkin menjelang tengah hari saya sudah membuat keputusan,” katanya.

Media tempatan menuduh Koeman meninggalkan identiti bola sepak menyerang yang sinonim dengan Belanda apabila menurunkan lima pemain pertahanan ketika menentang Maghribi. Malah, seorang wartawan menyifatkan Belanda seolah-olah bermain dalam keadaan takut.

Kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang Koeman yang mempertahankan taktikalnya, namun gagal meyakinkan para pengkritik.

Akhbar Algemeen Dagblad meramalkan Koeman akan melepaskan jawatan selepas menyifatkan persembahan Belanda di Piala Dunia sebagai tidak konsisten.

Menurut akhbar itu, prestasi Belanda berubah-ubah daripada hantaran perlahan dan tidak bermatlamat serta terlalu bertahan ketika menentang Jepun, bangkit penuh bertenaga berdepan Sweden, sebelum kembali mempamerkan ‘mentaliti 80 peratus’ ketika bertemu Tunisia.

“Ketika menentang Maghribi, memang ada semangat juang, tetapi tiada kualiti permainan sebenar. Lima pemain pertahanan, namun tiada penguasaan di bahagian tengah dan hanya satu peluang menjaringkan gol,” menurut laporan itu.

Empat tahun lalu di Qatar, di bawah kendalian Louis van Gaal, Belanda mara sehingga suku akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top