Gol Haaland bawa Norway jumpa Brazil

Gol Haaland bawa Norway jumpa Brazil

Arlington: Erling Haaland muncul wira Norway apabila menjaringkan gol kemenangan empat minit sebelum tamat perlawanan untuk membantu pasukannya menewaskan Ivory Coast 2-1 pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia, hari ini

Kemenangan itu menyaksikan Norway mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik, sekali gus mengatur pertemuan menarik menentang Brazil.

Haaland menyempurnakan gol kemenangan pada minit ke-86 menerusi penyudah mudah di depan gawang, sekali gus menjadikan jumlah jaringan peribadinya meningkat kepada lima gol dalam kejohanan ini.

Norway terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain sayap, Antonio Nusa yang melepaskan rembatan lencong menarik enam minit sebelum tamat babak pertama.

Ivory Coast bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-74 apabila pemain gantian, Amad Diallo menggelecek melepasi beberapa pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Norway.

Norway hampir kembali di depan pada pertengahan babak kedua, namun percubaan Torbjorn Heggem hasil sepakan penjuru berjaya diselamatkan di atas garisan gol oleh pertahanan Ivory Coast.

Namun, Haaland akhirnya memastikan kemenangan berpihak kepada Norway menerusi sentuhan mudah pada penghujung permainan.

Norway akan kembali beraksi di New York pada Isnin ini untuk menentang Brazil dalam perebutan tempat ke suku akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top