Konflik AS-Iran dan sekatan tenaga: Apa seterusnya bagi Asia?

Konflik AS-Iran dan sekatan tenaga: Apa seterusnya bagi Asia?

KEMELUT terbaharu yang menyelubungi perdagangan global susulan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Apa yang berlaku juga bukanlah sebegitu asing atau tidak pernah dilihat apabila membabitkan naratif berkaitan gangguan terhadap perdagangan antarabangsa.

Bagaimanapun kali ini, bukannya disebabkan oleh virus atau pelaksanaan tarif yang membebankan, sebaliknya serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh AS dan Israel ke atas Iran, sebuah negara di Asia Barat yang mempunyai pengaruh besar ke atas laluan perkapalan di sepanjang Selat Hormuz – laluan penting minyak yang paling kritikal untuk dunia.

Laluan selat yang menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman dan Laut Arab dengan 20-30 peratus daripada dagangan perdagangan minyak global merentasinya saban hari.

Sebagaimana konflik lain dalam dunia moden yang saling berkaitan, krisis ini juga tidak kenal sempadan, termasuk menyaksikan ruang udara beberapa negara turut menjadi tapak pelancar peperangan manakala dron serta roket turut digunakan sehingga menjejaskan industri penerbangan.

Iran telah melancarkan tindak balas terhadap serangan AS dengan membedil pangkalan tentera udara dan kilang penapisan minyak AS di 11 negara di rantau Teluk sepanjang 12 hari lepas.

Walaupun perkembangan terkini menyaksikan sebahagian ruang udara kembali beroperasi secara penuh atau sebahagian, realitinya tempoh beberapa hari diperlukan untuk menyelesaikan kesesakan trafik udara.

Lebih sukar lagi, tempoh masa itu akan bergantung kepada selama mana konflik bermula pada 28 Februari 2026 serta pengeboman Iran itu akan berlanjutan.

Ini tidak hanya menyebabkan peralihan atau lencongan semula kapal tangki yang melaluinya, tetapi kos penghantaran barang serta kargo juga meningkat ketika industri penerbangan terpaksa bertindak menaikkan surcaj bahan api.

Tindakan itu difahami kerana pasaran dan pihak logistik memberi reaksi langsung terhadap ketidaktentuan di tengah-tengah kemelut rantaian bekalan global yang masih belum stabil dan goyah susulan pandemik Covid-19 serta perang tarif yang turut menjejaskan rantaian bekalan sebelum ini.

Apa yang pasti, impaknya bukan setakat itu, malah menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah-langkah luar biasa dalam usaha mengurus penggunaan tenaga.

Negara-negara seperti Bangladesh, Vietnam dan Thailand misalnya telah bertindak mengumumkan langkah pelaksanaan kerja dari rumah serta penggunaan pengangkutan awam dalam usaha penjimatan bahan api.

Di pelusuk lain, negara yang banyak bergantung serta menggunakan minyak, bertindak menaikkan harga minyak di peringkat pam atau runcit.

Lebih memeningkan, tajuk utama mengenai konflik itu juga pantas berubah dalam sekelip mata.

Di tengah-tengah ketidaktentuan, realiti sebenar konflik kali ini bagaimanapun, bukannya berkisar mengenai gangguan itu semata-mata, sebaliknya peralihan pusat tumpuan atau graviti dalam perdagangan global susulan perang tarif.

Jelas sekali, sistem global telah berpecah kepada pakatan baharu, koridor bekalan baharu serta kerjasama ekonomi baharu yang semakin melangkaui pusat kuasa tradisional di Utara.

Ternyata, konflik AS-Iran hanya mempercepatkan lagi proses ini.

Ketika dunia terus tertumpu kepada konflik di Asia Barat, secara diam-diam China pada Sabtu lepas bertindak mengumumkan kadar tarif sifar ke atas barangan dari 53 negara-negara Afrika berkuat kuasa pada 1 Mei, 2026.

Ini sememangnya merupakan pencetus perubahan dalam meningkatkan perdagangan antara China dan benua Afrika.

Langkah ini bukan sekadar konsesi perdagangan tetapi kenyataan geopolitik terutamanya yang datang dari ekonomi kedua terbesar di dunia.

Beijing memberi isyarat bahawa masa depan perdagangan mungkin ditentukan oleh kerjasama Selatan-Selatan dan bukannya kerangka kerja lama yang dipacu Utara (merujuk negara-negara maju yang berada dalam kumpulan Global Utara).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi individu penggerak bukan sahaja di sebalik inisiatif kerjasama Selatan-Selatan Malaysia tetapi juga untuk ASEAN dengan Putrajaya menjadi tuan rumah kepada siri sidang kemuncak kumpulan serantau itu tahun lepas.

“Selatan Global yang diperkasakan, seperti yang saya lihat, sememangnya tidak dapat dielakkan,” kata Perdana Menteri selaku pengerusi ASEAN dalam menggesa kepentingan negara-negara membangun untuk bekerjasama.

Pencapaian perdagangan bagi negara-negara Selatan Global sememangnya amat dikagumi dan pada masa ini, kumpulan itu menyumbang sekitar 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan mewakili 85 peratus daripada populasi global.

Menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar dunia diunjurkan datang dari Selatan Global, antaranya China, India dan Indonesia.

Sebagai sebahagian daripada strategi ini, Malaysia kini merupakan salah satu daripada sembilan negara rakan kongsi dalam BRICS, sebuah kumpulan ekonomi baharu muncul tidak formal, keahliannya berkembang pesat daripada lima negara asal, terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Anwar juga telah membuat lawatan penting ke tiga negara Afrika tahun lepas, satu bukti komitmen Putrajaya untuk memperkukuh hubungan dengan Selatan Global dan meletakkan Malaysia secara strategik sebagai rakan kongsi dipercayai dalam dunia yang semakin multipolar.

Bagaimanapun, usaha kolektif diperlukan demi memastikan Selatan Global berjaya dan China atau Malaysia tidak boleh melakukannya secara sendirian.

Seluruh komuniti Selatan Global perlu bersatu ke arah matlamat yang sama.

Rantau berkenaan bukan sahaja harus menyesuaikan diri dengan perubahan susunan perdagangan global tetapi mentakrifkannya.

Gangguan dalam pasaran minyak dan laluan perkapalan mungkin mendominasi tajuk berita utama hari ini, tetapi di sebalik pergolakan itu terletak transformasi yang lebih mendalam dan akan menentukan siapa menetapkan peraturan perdagangan esok.

Asia telah menghabiskan beberapa dekad untuk memperkasakan pertumbuhan global dan serantau.

Kini tiba masanya untuk rantau tersebut mencorakkan naratif perdagangan globalnya sendiri dan menentukan masa depannya dalam persekitaran perdagangan antarabangsa yang amat tidak menentu. – Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kemelut perdagangan global berpunca dari serangan ketenteraan AS dan Israel ke atas Iran, mempengaruhi laluan penting minyak Selat Hormuz
  • Gangguan ini juga menjejaskan ruang udara beberapa negara dan industri penerbangan akibat penggunaan dron serta roket
  • Iran bertindak balas dengan menyerang pangkalan tentera udara dan kilang penapisan minyak AS di 11 negara di rantau Teluk
  • Konflik ini menyebabkan kos penghantaran barang meningkat akibat keperluan menaikkan surcaj bahan api dalam industri penerbangan
  • Peristiwa ini mempercepat pergeseran pusat perdagangan global, melibatkan peningkatan kerjasama ekonomi antara negara-negara Selatan Global seperti China, Afrika, dan ASEAN
Scroll to Top