IPOH: Seramai 40 anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan teruja apabila dapat memilih sendiri baju raya pada Program Sinar Syawal 2026 anjuran Yayasan Perak di Gudang Tekstil Jakel di sini hari ini.
Pengurus Korporat dan Perhubungan Awam Yayasan Perak, Nur Dalila Mastor berkata, anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan itu dari Asrama Budi Mulia Nurul Huda, Chemor di Ipoh.
“Setiap seorang menerima sumbangan kelengkapan pakaian bernilai RM200 iaitu bagi lelaki baju Melayu dan songkok sementara perempuan pula baju kurung dan tudung.
“Program dengan kerjasama Jakel (Ipoh) ini telah memasuki tahun keenam dan semua anak-anak gembira dan teruja memilih baju raya mengikut kehendak masing-masing,” katanya.
Beliau sama-sama membantu kanak-kanak tersebut memilih pakaian bersama isteri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Datin Seri Aezer Zubin.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sekadar bantuan berbentuk material malah merupakan usaha bagi memastikan golongan yang diraikan turut merasai kemeriahan serta kegembiraan menjelang sambutan 1 Syawal.
“Program Sinar Syawal merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial yang dilaksanakan secara konsisten setiap tahun sebagai sebahagian daripada agenda kebajikan Yayasan Perak dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus diberi perhatian.
“Yayasan Perak percaya bahawa kesejahteraan sosial bermula dengan sentuhan kemanusiaan. Walaupun sumbangan ini mungkin kecil pada nilai namun besar maknanya kepada mereka yang diraikan,” katanya.
Seorang penerima, Nurhawa Natasha Zainal Abidin,15, bergembira dapat memilih pakaian sendiri untuk digayakan pada pagi raya nanti.
“Saya telah menetap di Asrama Budi Mulia selama tujuh tahun dan amat gembira menerima sumbangan yang begitu bermakna ini.
“Tidak sabar untuk tunjukkan baju kurung baharu pada emak dan adik apabila beraya di kampung di Taiping nanti,” katanya.
Bagi Haris Firdaus Abdul Haqq, 15, pula, sumbangan tersebut membolehkannya dapat menyimpan wang bagi mencapai cita-cita menyambung pengajian dalam bidang kulinari di kolej vokasional nanti.
“Semasa bulan Ramadan setiap tahun, memang banyak pihak yang memberikan sumbangan, membolehkan saya menyimpan wang untuk pendidikan,” katanya. – UTUSAN


