Melodi Glam dalam tren curi perhatian

Melodi Glam dalam tren curi perhatian

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perjalanan tren MRT dari Stesen MRT Bandar Utama hingga ke Tun Razak Exchange (TRX) hari ini bertukar meriah dengan penganjuran Melodi Glam Raya Runway yang berjaya menarik perhatian pengguna dan peminat.

Pertunjukan fesyen unik di dalam tren MRT ini menghidupkan suasana sepanjang perjalanan dengan orang ramai menanti ketibaan tren sehinggalah kepada kemuncak persembahan di pentas utama,

Acara yang menggabungkan fesyen, muzik dan hiburan dalam satu pengalaman Raya yang penuh glam ini bermula dengan persembahan flash mob yang diterajui oleh bakat One In A Million (OIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Mariam.

Mereka turut disertai Sharifah Rose dan Fahrin Ahmad yang bersama-sama mempersembahkan gerakan tarian istimewa menerusi lagu Raya jenama Watsons, sekali gus menceriakan suasana pembukaan acara.

Sesi pelepasan rasmi (flag off) disempurnakan oleh barisan tetamu kehormat, menandakan permulaan perjalanan tren khas Melodi Glam Raya Runway.

Suasana di dalam tren dimeriahkan dengan nyanyian bintang OIAM diikuti alunan suara Nabila Razali.

Segmen runway kemudian mengambil tempat apabila barisan model membuat kemunculan memperagakan rangkaian produk penjagaan kulit, solekan, penjagaan diri serta kesihatan daripada barisan Rakan Jenama Watsons, sesuai untuk melengkapkan persiapan Aidilfitri.

Mereka turut menggayakan koleksi pakaian dan aksesori Raya daripada jenama-jenama fesyen tempatan yang merupakan barisan Rakan Jenama TikTok Shop, sambil menampilkan inspirasi gaya Aidilfitri yang segar dan versatil.

Setiap produk dan gaya yang diperagakan turut dipaparkan menerusi “beg kuning” di TikTok Shop sepanjang siaran langsung berlangsung, membolehkan penonton membeli terus item yang ditampilkan dengan tawaran istimewa.

Pelbagai produk ini yang dibawa oleh model, sehinggalah kepada pakaian dan kasut termasuk beg tangan yang digayakan, semuanya boleh dibeli secara terus melalui platform terbabit.

Inisiatif ini turut mencipta satu lagi pencapaian baharu di bawah Melodi dengan memperkenalkan integrasi pembelian secara langsung melalui “beg kuning,” dan pada masa sama membuka peluang kerjasama masa hadapan bersama lebih banyak jenama dan rakan industri.

Kemuncak acara ini berlangsung di

Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) apabila Datuk Seri Aliff Syukri tampil di pentas utama menyanyikan lagu sebelum Melodi Glam Raya Runway dilancarkan secara rasmi.

Artis-artis lain yang turut beraksi ialah Aisha Retno, Amir Masdi, Nabila Razali dan Ernie Zakri. Ia turut menampilkan pertunjukan runway yang memperagakan rangkaian produk, dengan beberapa produk diperagakan sendiri oleh Duta dan Rakan Selebriti Watsons iaitu Ayda Jebat, Che Puan Sarimah, Sharifah Rose, Fahrin Ahmad, Akmal Nazri, Lyssa Jean dan Mekyun.

Mengangkat tema “Gaya Raya Glam,” Melodi Glam Raya Runway mengetengahkan idea bahawa penampilan Aidilfitri yang elegan boleh direalisasikan tanpa perlu berbelanja besar.

Usaha ini turut mencerminkan komitmen Melodi dalam mengangkat bakat serta jenama tempatan, di samping membuka ruang kolaborasi antara dunia fesyen dan hiburan.

Acara ini mendapat sokongan Watsons Malaysia selaku penaja utama dan TikTok Shop sebagai penaja bersama, dengan keseluruhan acara distrim secara langsung menerusi TikTok MBuzz Terhangat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top