MHO minta polis siasat kandungan telefon didakwa ada maklumat operasi Along

MHO minta polis siasat kandungan telefon didakwa ada maklumat operasi Along

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta polis menyiasat kandungan telefon bimbit yang didakwa milik ahli sindiket pemberi pinjaman wang haram (Along) selepas pihaknya menjumpai pelbagai maklumat berkaitan operasi kumpulan itu.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa, pihaknya turut membuat laporan polis berhubung penemuan telefon itu yang dipercayai mengandungi bukti kegiatan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, telefon itu dipercayai amat bernilai kepada sindiket terbabit sehingga mereka didakwa menawarkan wang kepada aktivis MHO sebagai ganjaran untuk mendapatkannya semula.

“Mereka ada menghubungi dan menawarkan wang supaya telefon itu dipulangkan, bermula sekitar RM15,000 sebelum meningkat hingga RM2 juta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, telefon berkenaan mengandungi pelbagai maklumat dan dokumen termasuk manual operasi setebal 69 halaman yang memperinci modus operandi sindiket itu.

“Manual tersebut menerangkan secara jelas bagaimana operasi dijalankan termasuk langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku tangkapan, apa yang perlu dikatakan kepada pihak berkuasa serta struktur pengurusan dalam sindiket itu.

“Dokumen itu turut menunjukkan bahawa kegiatan sindiket berkenaan dijalankan secara tersusun seperti sebuah organisasi dengan sistem pembahagian tugas, laporan jualan dan pengagihan keuntungan kepada ahli,” katanya.

Beliau berkata, dapatan daripada telefon berkenaan juga menunjukkan sindiket itu mempunyai akses kepada maklumat peribadi mangsa termasuk nombor kad pengenalan, alamat dan maklumat ahli keluarga.

“Maklumat itu dipercayai diperoleh melalui satu sistem aplikasi dalaman yang menyimpan data mangsa dan digunakan oleh ahli sindiket bagi menjejaki serta memberi tekanan kepada peminjam,” katanya.

Hishamuddin berkata, dokumen yang ditemukan juga menunjukkan kadar faedah pinjaman yang dikenakan oleh sindiket itu jauh melebihi had yang dibenarkan undang-undang.

“Di bawah Seksyen 17A Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, kadar faedah tidak boleh melebihi 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa cagaran namun dalam dokumen itu dinyatakan kadar faedah bulanan tidak boleh kurang daripada 13 peratus selain caj tambahan sekurang-kurangnya enam peratus sebulan,” katanya.

Beliau berkata, telefon berkenaan turut mengandungi rakaman video tindakan ugutan seperti membaling cat ke rumah mangsa yang dipercayai dirakam oleh ahli kumpulan sebagai bukti pelaksanaan tugas untuk dihantar kepada ketua mereka.

Beliau berkata, antara kumpulan dalam sindiket itu yang mempunyai kira-kira 25 anggota dilaporkan mencatat keuntungan sehingga RM27 juta pada tahun lepas.

Sementara itu, aktivis MHO hanya ingin dikenali sebagai Joshua berkata, telefon tersebut dijumpai selepas beberapa individu dipercayai ahli sindiket melarikan diri ketika beliau bersama dengan rakan-rakannya membantu seorang mangsa yang didakwa dikepung kumpulan Along di Kampung Sungai Penchala pada 3 Mac lalu.

Beliau mendakwa semua bukti yang ditemukan telah diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan lanjut.

Bernama telah menghubungi pihak polis bagi mendapatkan pengesahan berhubung laporan yang dibuat MHO baru-baru ini, dan masih menunggu maklum balas pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top