Penyanyi, Wani Kayrie tidak berkecil hati apabila lagu raya solo pertamanya berjudul Kampung Kita masih belum mencapai 100,000 tontonan di YouTube walaupun sudah dilancarkan sejak 10 hari lalu.
Menerusi perkongsian di Threads, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 26, berkata dia tetap berasa gembira kerana akhirnya berjaya menghasilkan lagu raya solo sendiri sepanjang kerjaya seninya.
Menurut Wani, pengalaman menghasilkan lagu itu juga cukup bermakna kerana kebanyakan idea serta usaha promosi dilakukan sendiri berbanding projek lagu raya sebelum ini.
“Walaupun lagu raya saya tak cecah 100,000 tontonan lagi, tapi saya bahagia sebab ini lagu raya solo pertama saya.
“Jadi setiap idea dan usaha untuk promo itu kebanyakannya datang daripada diri sendiri berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Tak mengapa, nak berjaya kena berani ambil risiko dan cuba benda baru kan?” katanya.
Perkongsian itu turut menerima sokongan daripada rakan selebriti serta peminat yang meninggalkan pelbagai komen positif daripada penyanyi, Nabila Razali yang mengakui sedang menghafal langkah tarian lagu raya berkenaan, manakala Nana Sheme turut meluahkan rasa kagum dengan usahawa dan keberanian Wani.




