Gobind gesa polis ambil tindakan pada individu didakwa hina simbol Hindu

Gobind gesa polis ambil tindakan pada individu didakwa hina simbol Hindu

Pihak polis digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap individu atau pihak yang didakwa menghina simbol agama Hindu, kata Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

Menurut laporan BH Online, Menteri Digital itu berkata, isu tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu dan kerajaan mempunyai pendirian yang jelas bahawa agensi penguat kuasa perlu memastikan siasatan serta tindakan susulan dilaksanakan.

“Saya menggesa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengambil langkah segera untuk mengenal pasti serta membawa pihak yang bertanggungjawab atas perbuatan mencemarkan simbol agama ke muka pengadilan.
“Malaysia tidak boleh sama sekali terjerumus ke dalam keadaan ketiadaan undang-undang atau ketegangan kaum.
“Polis mesti bertindak sekarang bagi memulihkan keyakinan awam serta memastikan keamanan yang kita bina tidak digugat oleh pihak yang cuba memecah-belahkan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Gobind turut menegaskan bahawa menjaga ketenteraman awam merupakan tanggungjawab asas pihak polis yang tidak boleh dikompromi.

Menurutnya, kebelakangan ini kelihatan seolah-olah wujud kekurangan tindakan terhadap pihak yang menyebarkan kebencian berunsur perkauman, sekali gus mencetuskan insiden yang secara langsung boleh mengancam kestabilan negara.

“Namun kebelakangan ini, kita menyaksikan kekurangan tindakan terhadap pihak yang menyebarkan kebencian kaum, sekali gus mencetuskan insiden yang secara langsung mengancam kestabilan negara,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut merujuk kepada satu kes baru-baru ini yang melibatkan penghinaan terhadap al-Quran dan menyifatkan tindakan pantas pihak berkuasa mendakwa individu terlibat sebagai langkah yang wajar serta menunjukkan bahawa perbuatan sedemikian tidak akan diterima.

Gobind berkata, pendekatan tegas yang sama juga perlu diambil terhadap sebarang perbuatan yang melibatkan Soolam iaitu simbol suci dalam masyarakat Hindu.

“Saya menggesa polis menangani kebimbangan besar masyarakat dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
“Kegagalan bertindak dalam kes seperti ini boleh meningkatkan ketegangan kaum.
“Kita mesti mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum dan satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan menegakkan serta menguatkuasakan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya lagi.

Sumber: BH Online

Scroll to Top