Kes seleweng tanah, SPRM beku 10 akaun bank RM4 juta

Kes seleweng tanah, SPRM beku 10 akaun bank RM4 juta

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam susulan siasatan terkini isu penyelewengan tanah membabitkan seorang pengarah syarikat membekukan empat akaun syarikat dan akaun perbankan milik empat individu dianggarkan kira-kira RM4 juta.

Menurut sumber, siasatan yang dijalankan SPRM Selangor sejak 9 Mac lalu membekukan dua akaun unit amanah bernilai kira-kira RM2.6 juta dan beberapa akaun simpanan syarikat serta individu berjumlah kira-kira RM1 juta.

“Pada masa sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan penipuan,” katanya.

Semalam, seorang pengarah syarikat yang juga pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira lapan ekar di sebuah ladangdi Hulu Selangor ditahan reman lima hari hingga Isnin depan.

Setakat ini seramai 24 orang saksi diambil keterangan.

SPRM juga masih mengesan saksi-saksi yang terbabit di dalam kes terbabit bagi tujuan rakaman percakapan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top