Setiap kali Raya, kita selalunya sibuk fikir nak pakai baju warna apa, nak ambil gambar keluarga macam mana dan nak masak menu apa untuk tetamu yang datang beraya.
Namun di sebalik semua kemeriahan itu, pernah tak tiba-tiba hati rasa kosong sekejap?
Kadang-kadang kita mula terfikir… cukupkah masa yang kita luangkan bersama ibu? Pernah tak kita benar-benar beri perhatian sepenuhnya kepada mak, atau kita sekadar ada tanpa betul-betul mendengar dan meluangkan masa bersama?
Tahun ini, Takaful IKHLAS tampil dengan sebuah iklan Raya yang bukan sekadar mencuit hati, tetapi juga membuatkan ramai terdiam seketika dan berfikir.
Malah, ramai yang menonton turut berkongsi perasaan yang sama iaitu rasa rindu kepada ibu.
Kalau nak tonton, mungkin elok sediakan tisu sekali.
Di sebalik senyuman, ada hati yang pernah terluka
Menampilkan gandingan mantap Bront Palarae dan Fauziah Ahmad Daud, filem pendek ini membawa kisah yang sangat dekat dengan realiti kehidupan ramai orang.
Ia bukan kisah dramatik yang sarat dengan tangisan. Sebaliknya, emosi disampaikan secara perlahan, tetapi cukup tepat menyentuh hati.

Antara babak yang paling meninggalkan kesan ialah apabila seorang makcik bertanya dengan lembut:
“Eh makcik nak tanya satu soalan boleh? Kamu ada ibu lagi?”
Jawapan yang diberikan sangat ringkas.
“Ada. Tapi… macam tu lah.”
Satu frasa yang nampak biasa, tetapi membawa seribu makna tentang rasa rindu, jarak dan mungkin juga penyesalan.
Tidak lama selepas itu, soalan yang sama diajukan semula.
“Makcik? Ada anak?”
Dan jawapannya juga sama.
“Ada… tapi… macam tu lah.”
Pada ketika itulah kita mula sedar, kadang-kadang hubungan yang paling dekat pun boleh terasa jauh.
Lakonan hebat pelakon yang cukup disegani

Kalau sebut nama Bront Palarae dan Ogy Ahmad Daud, siapa je tak kenal.
Dalam iklan ini, kedua-duanya mereka tampil dengan lakonan sederhana tetapi meninggalkan kesan yang cukup mendalam.
Tiada dialog berlebihan atau adegan dramatik melampau. Hanya pandangan mata, nada suara yang lembut serta lontaran kata yang tepat.
Ia seakan mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap senyuman ketika Hari Raya, ada hati yang mungkin pernah terluka namun tetap memilih untuk menyayangi dengan penuh keikhlasan.
Ramai boleh ‘relate’

Mungkin sebab itulah iklan raya ini dapat menyentuh hati orang ramai.
Sebab kebanyakan kita pernah melalui fasa “macam tu lah.”
Walau tak pernah berselisih faham, tetapi hubungan dengan ibu sudah tidak serapat dahulu.
Anak yang kesayangan, tetapi jarang pulang. Ibu rindu, tetapi tidak mahu membebankan.
Apa yang pasti, filem ini berjaya menyeimbangkan elemen humor kecil, nostalgia kampung serta refleksi kehidupan yang menyentuh hati.
Ia tidak memaksa penonton untuk menangis, tetapi selepas habis menonton… mungkin ramai yang terus capai telefon dan hubungi ibu masing-masing.
Iklan Raya paling IKHLAS tahun ini
Melalui filem pendek ini, Takaful IKHLAS bukan sekadar menghasilkan iklan Raya biasa.
Sebaliknya, ia menjadi satu peringatan bahawa keikhlasan adalah asas kepada setiap hubungan terutamanya hubungan antara ibu dan anak.
Kalau tahun ini korang mencari sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar nostalgia Raya, mungkin inilah iklan raya yang wajib korang tonton.
Dan jangan lupa kongsikan dengan insan tersayang kerana mungkin mereka juga sedang rasa “macam tu lah.” ❤️




