Imarah Ramadan: Warga SPRM sertai tadarus al-Quran

Imarah Ramadan: Warga SPRM sertai tadarus al-Quran

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Seramai 58 warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai program Tadarus al-Quran yang diadakan di Surau Safinatun Najah sepanjang Ramadan ini.

Peserta terdiri daripada 24 lelaki dan 34 wanita itu diraikan dalam Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Perdana sempena Program Ihya Ramadan 1447H/2026 peringkat Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Majlis dimulakan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan Pegawai Agama Hal Ehwal Islam Gombak, Azli Ab Rahman, yang menekankan kepentingan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup serta memperbanyakkan amalan kebajikan sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan.

Program kemudian diteruskan dengan sesi tadarus dan khatam al-Quran yang dipimpin Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM, Dr Ahmad Zaky Md Ali @ Tahir disusuli dengan doa khatam al-Quran, berbuka puasa serta diakhiri dengan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah dan moreh.

Penyampaian cenderahati kepada peserta-peserta tadarus disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zin.

Program tadarus berkenaan adalah antara inisiatif mengimarahkan Ramadan yang dianjurkan BCP dengan kerjasama Surau Safinatun Najah serta PUSPANITA SPRM.

Sepanjang Ramadan, pelbagai program pengisian kerohanian turut diadakan termasuk tazkirah Ramadan yang dilaksanakan secara berselang-seli dengan sesi tadarus.

Turut diadakan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada imam, bilal dan siak surau atas khidmat bakti mereka sepanjang tahun lalu.

Hadir sama menyerikan program ini adalah Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top