wanasr@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai status perkahwinan usahawan serta selebriti, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng akhirnya terjawab apabila mereka mengesahkan sudah bercerai.
Nilam begitupun enggan berkongsi mengenai punca dan tarikh perceraian mereka.
Sebaliknya, Nilam mendedahkan pengumuman buat pertama kali itu bagi mengelak fitnah dan dilakukannya selepas selesai tempoh idah.
Menurut Nilam lagi, mereka tetap bersahabat baik demi kebajikan anak mereka bersama.
“Soal bila kami bercerai, biarlah saya dan abang Lan (Azlan) saja yang tahu. Cukup sekadar masyarakat tahu yang kami sudah berpisah.
“Hubungan kami juga dalam keadaan baik dan ketika ini kami memilih untuk menjadi ibu bapa yang baik buat anak kami,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Nilam lagi, dia menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan berita perceraian berkenaan dibuat hanyalah bertujuan sebagai gimik atau ‘marketing’ kepada perniagaannya.
“Kalau ini marketing, saya tak akan buat hantaran selepas saya habis tempoh idah sebaliknya akan dibuat sebelum saya bercerai lagi.
“Tetapi saya belajar daripada kesilapan dan mengambil langkah untuk tidak terlalu berkongsi di media sosial. Saya lebih memilih untuk berwaspada dalam apa-apa hantaran yang dibuat di media sosial,” kata Nilam pada sidang media di sini hari ini.
Pasangan Nur Nilam dan Azlan yang juga seorang pelakon drama dan filem bernikah pada 22 Januari 2022. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang dilahirkan September tahun lalu.
Pada 9 April tahun lalu, Nur Nilam menarik perhatian ramai di media sosial apabila hadir ke mahkamah syariah dengan berpakaian serba hitam untuk memfailkan fasakh terhadap Azlan.
Sebelum itu, pada Mac tahun yang sama, Nur Nilam mendedahkan Azlan bakal berkahwin kali kedua dengan seorang wanita yang didakwa menjadi ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga mereka.
Bagaimanapun, Azlan tampil memaklumkan kemelut rumah tangganya dan Nur Nilam dapat diselesaikan dengan baik pada Julai tahun lalu selepas pertemuan dengan pegawai jabatan agama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




