Aidilfitri: 288 'hot spot' kemalangan jalan raya dipantau

Aidilfitri: 288 'hot spot' kemalangan jalan raya dipantau

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Jabatan Pengangkutan Jalan mengenal pasti 288 lokasi ‘hot spot’ kemalangan jalan raya di seluruh negara yang akan diberi tumpuan sepanjang perayaan Aidilfitri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan di kebanyakan lokasi berkenaan selain menempatkan anggota di kawasan berisiko.

“Saya sudah arahkan semua kenderaan penguat kuasa JPJ berada di atas jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri (untuk penugasan operasi).

“Tiada satu pun akan berada di pejabat,” katanya pada program Ihya Ramadan Akrab JPJ dan Komuniti di Terminal Bas Seksyen 17 di sini, hari ini.

Katanya, pemasangan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) juga banyak membantu meningkatkan pematuhan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan termasuk di kawasan Terowong Menora, Perak.

Beliau berkata, JPJ turut mempergiatkan Operasi Hari Raya Aidilfitri selama dua minggu bermula hari ini membabitkan hampir penugasan 3,000 anggota di seluruh negara.

“Operasi memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas termasuk lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

“Selain itu, membawa lebihan muatan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan terus melaksanakan pemeriksaan mengejut di terminal bas selain penyamaran anggota dalam bas ekspres bagi menjamin keselamatan penumpang.

Menurutnya, larangan pemanduan kenderaan barangan akan dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top